fbpx

PTPTN sasar terima deposit Simpan SSPN RM3.2 bilion tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menetapkan Sasaran Tahun 2024 iaitu deposit Simpan SSPN yang akan diterima berjumlah RM3.2 bilion serta bayaran balik sebanyak RM3.1 bilion.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, sehubungan itu, pelbagai strategi dirangka secara menyeluruh merangkumi semua aspek agar sasaran ini dapat dicapai dengan cemerlang.

“Penetapan sasaran ini penting bagi memastikan PTPTN terus komited dalam membantu generasi akan datang agar mempunyai sumber kewangan untuk melanjutkan pengajian dan menjadi modal insan berjasa kepada negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan pencapaian pada tahun 2023, PTPTN terus mencatatkan prestasi membanggakan apabila sebanyak RM17.39 bilion dengan 6.25 juta akaun direkodkan bagi jumlah terimaan deposit Simpan SSPN.

Katanya, angka yang direkodkan itu sejak produk Simpan SSPN pada tahun 2004 sehingga 31 Disember tahun lalu.

“Prestasi ini membuktikan usaha PTPTN mentransformasikan minda masyarakat agar membudayakan amalan menabung melalui Simpan SSPN terus diterima baik.

“Pencapaian ini merupakan hasil komitmen dan dedikasi seluruh warga PTPTN. Sesungguhnya saya bersyukur kerana usaha untuk mengubah minda masyarakat Malaysia daripada meminjam kepada menabung sekali gus mengelakkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman semakin diterima baik.

“Catatan kejayaan ini dapat diterjemahkan melalui prestasi Simpan SSPN yang semakin diterima baik oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Selain itu, katanya, sehingga 31 Disember 2023, PTPTN telah membantu seramai 3.95 juta pelajar melibatkan dana pinjaman dikeluarkan berjumlah RM71.32 bilion.

Ujarnya, untuk tahun 2023, bayaran balik diterima berjumlah RM2.91 bilion dan terimaan ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM144.37 juta atau 5.21 peratus berbanding tahun 2022.

Berhubung aplikasi myPTPTN pula, PTPTN sentiasa komited menambah baik aplikasi tersebut dan sehingga 31 Disember 2023, lebih 1.1 juta pelanggan telah mendaftar sebagai pengguna myPTPTN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI