fbpx

350 PATI di Perak daftar Program Repatriasi Migran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEOR Hezbullah (kiri) bercakap bersama pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mendaftar untuk sertai Program Repatriasi Migran di Bahagian Penguatkuasaan JIM Perak di Ipoh hari ini.

IPOH – Jabatan Imigresen (JIM) Perak merekodkan seramai 350 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah mendaftarkan diri melalui Program Repatriasi Migran dalam tempoh 11 hari bermula 1 Mac lalu.

Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, daripada jumlah itu, seramai 244 orang lelaki manakala 91 orang lagi wanita dengan 15 orang pula merupakan kanak-kanak.

Katanya, kesemua mereka berusia antara 11 bulan hingga 64 tahun.

“Indonesia mencatatkan bilangan PATI paling tinggi iaitu seramai 268 orang diikuti Bangladesh (25), India (24), Pakistan (17), Myanmar (sembilan), Nepal (tiga), Sri Lanka (dua), Vietnam (satu) dan Singapura (satu).

“Kesemua PATI ini adalah mereka yang telah diambil tindakan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di negara ini dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa,” katanya pada sidang akhbar di Bahagian Penguatkuasa JIM Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, (KDN), Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak meletakkan sasaran jumlah PATI yang akan menyertai program berkenaan namun berharap peluang tersebut digunakan sepenuhnya golongan itu untuk kembali ke negara asal.

Beliau berkata, tiada penglibatan pihak ketiga atau ejen dilantik untuk program itu di mana mereka boleh terus datang ke bahagian penguatkuasaan imigresen negeri untuk pendaftaran.

“Kita tidak meletakkan jumlah namun menyasarkan seramai yang boleh PATI untuk ambil peluang ini terutama di bulan Ramadan dan perayaan. Mana-mana yang mahu pulang beraya, inilah peluang yang boleh diambil.

“Ini juga adalah peluang untuk mereka pulang ke negara asal secara sukarela dengan pengecualian pendakwaan dan penawaran kompaun antara RM300 hingga RM500,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, mana-mana PATI juga tidak perlu takut atau bimbang untuk hadir ke pejabat imigresen kerana mereka tidak akan ditangkap mahupun digari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI