fbpx

Kadar zakat fitrah di Perak bermula RM8

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menetapkan kadar zakat fitrah bagi tahun ini iaitu RM8 bagi beras special tempatan dan yang seumpama atau setara dengannya.

Pegawai Yang Menjalankan Tugas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Wan Maizura Wan Zahari berkata, kadar RM16 pula ditetapkan bagi beras super import, beras perang, beras wangi dan yang seumpama atau setara dengannya.

“Beras basmathi, beras pulut dan yang seumpama atau setara dengannya ditetapkan pada kadar RM24.

“Menurut pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, kadar bayaran zakat fitrah adalah sebanyak RM8 dan digalakkan bagi yang menggunakan beras wangi atau yang seumpama atau setara sebanyak RM16 dan untuk beras basmathi atau seumpama atau setara, sebanyak RM24,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, bayaran melalui amil zakat boleh dilakukan menerusi beberapa kaedah, antaranya tempat bayaran di masjid dan surau serta lokasi tumpuan orang ramai seperti kompleks membeli-belah, pasar terbuka, stesen minyak dan premis perniagaan seperti pejabat kerajaan atau swasta yang terpilih.

“Amil zakat fitrah juga bertemu secara langsung dengan pembayar. Kaedah ini boleh dilakukan oleh amil zakat fitrah dengan bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan ahli kariah melaksanakan ibadah zakat fitrah terutamanya warga emas,” katanya.

Wan Maizura berkata, bayaran zakat fitrah juga boleh dilaksanakan menerusi kaedah dalam talian iaitu FPX MAIPk dengan melayari https://ezakat.maiamp.gov.my/, aplikasi GoPayz, Shopee atau Maybank2u.

“Muat turun penyata bayaran zakat fitrah menerusi sistem portal penyata zakat MAIPk di pautan https:/online.maiamp.gov.my/zakatperak/ untuk simpanan dan cetakan.

“Penyata bayaran zakat fitrah boleh diperoleh selepas tiga hari bayaran dibuat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI