fbpx

Syafiq Ahmad idam pikat Pan-gon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFIQ memerlukan minit permainan yang lebih untuk kembali menjamin tempatnya dalam skuad kebangsaan. - FB KDA FC

PENYERANG sensasi, Syafiq Ahmad perlu menjadikan keputusan berhijrah ke Kedah Darul Aman (KDA FC) sebagai batu loncatan untuk kembali memikat ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada aksi antarabangsa akan datang.

Sebagai rekod, skuad Sang Kenari berjaya menandatangani khidmat Syafiq secara pinjaman selama semusim selepas mendapat persetujuan daripada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Syafiq yang kini berusia 29 tahun bukanlah nama asing dalam arena bola sepak kebangsaan dan sering menjadi calon pilihan Pan-gon pada tahun pertamanya membimbing Harimau Malaya pada 2022.

Malah, Syafiq juga dijadikan sebagai salah seorang kapten pasukan kebangsaan sebagai bukti kepercayaan yang diletakkan oleh pengendali import dari Korea Selatan itu ke atas dirinya.

Namun, kegagalan Syafiq mendapatkan minit permainan yang cukup di peringkat kelab menyukarkan Pan-gon untuk memanggilnya semula apabila kali terakhir disenaraikan ke skuad kebangsaan pada Mac tahun lalu.

Kini, Syafiq mengakui fokus utama adalah untuk membantu skuad Hijau Kuning kendalian Nafuzi Zain kembali digeruni menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 nanti.

“Saya gembira kembali ke pasukan yang saya pernah cipta nama, saya akan usaha bantu naikkan nama Kedah dan yang penting prestasi saya dapat dipertingkatkan.

“Kedah ada penyokong yang cukup besar, dengan perancangan terkini, senarai pemain baru yang masuk musim ini, saya dan rakan sepasukan berazam untuk naikkan nama Kedah, digeruni kembali,” katanya.

Syafiq pernah menyarung jersi Kedah di awal kariernya pada 2013 hingga 2017 sebelum mengambil keputusan untuk berkelana ke JDT pada 2018.

Selain Syafiq, KDA FC turut mengesahkan kehadiran dua pemain bertaraf kebangsaan, Rizal Ghazali dan Irfan Zakaria yang kembali ke gelanggang keramat, Stadium Darul Aman pada musim ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI