fbpx

Sultan Selangor tidak sambung tugas sebagai Pengerusi MKI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin Idris Shah

PETALING JAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berhasrat melanjutkan tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), selepas tempoh khidmat baginda berakhir pada 9 Mac ini.

Baginda mula menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI pada 10 Mac 2022 hingga 9 Mac ini.

Selangor Royal Office dalam kenyataan di Facebook berkata, baginda menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih pengerusi baharu dalam kalangan raja pemerintah agar kesinambungan fungsi dan aspirasi MKI akan terus dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen semua ahli mesyuarat serta wakil-wakil semua negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku Sekretariat MKI yang telah melaksanakan tugas dengan begitu efektif.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah Jakim merangkap Setiausaha MKI, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff dan Sekretariat MKI.

Dalam kenyataan sama, ia menjelaskan pada mesyuarat terakhir bersama jawatankuasa berkenaan, Sultan Sharafuddin menzahirkan penghargaan dan rasa sukacita terhadap kerjasama yang diberikan ahli-ahli jawatankuasa dan sekretariat sepanjang memegang jawatan Pengerusi MKI.

“Baginda turut menyemak semua minit mesyuarat lalu dan memastikan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan, menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Baginda menegaskan, sepanjang bertindak sebagai Pengerusi MKI, menjadi kewajipan baginda untuk sentiasa mengangkat dan mempertahankan syiar agama Islam di Malaysia dalam setiap keputusan yang dibuat secara muzakarah,” jelas kenyataan itu.

Merujuk kepada Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022, Pengerusi MKI hendaklah dipilih daripada kalangan Raja Pemerintah oleh Raja-Raja dan hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI