fbpx

Suami isteri maut ‘disabit’ akibat berebut harta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa serta sabit pengait sawit di sebuah ladang di Kg. Cina, Pantai Remis, petang tadi. - Foto IHSAN PDRM

MANJUNG – Pergaduhan yang berpunca daripada perebutan harta disyaki menjadi punca sepasang suami isteri maut dipercayai dibunuh adiknya mangsa lelaki di sebuah kawasan kebun sawit di Kg. Cina, Pantai Remis di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima laporan kira-kira pukul 3.30 petang daripada seorang lelaki yang memaklumkan bahawa bapa saudaranya telah bergaduh dengan adik lelaki serta isterinya di lokasi tersebut.

Beliau berkata, suspek kemudiannya dipercayai membunuh pasangan suami isteri berkenaan menggunakan sabit pengait sawit sehingga menyebabkan kecederaan parah di kepala dan muka.

“Mayat kedua-dua mangsa yang berumur 74 tahun itu ditemui di dalam kawasan kebun sawit dan kedua-duanya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek berjaya ditahan tempat kejadian ladang kelapa sawit tersebut dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung esok untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum mati.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Manjung, Asisten Superintendan Ashazarul Khairi Ab. Hamid di talian 012-5087026 untuk membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI