SEBAGAI anak kelahiran Kampung Sungai Pelek, Sepang, Selangor, Chia Boon San menyimpan impian untuk memperkenalkan Sepang kepada dunia.
Meskipun Sepang merupakan pintu masuk ke Malaysia, namun daerah dalam Selangor itu tidak begitu mendapat perhatian pelancong luar mahupun dalam negara. Ini kerana, selain Litar Antarabangsa dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), orang ramai tidak mengetahui tentang keunikan lain yang ada di Sepang.
Atas dasar itu, pemilik HL International Group tersebut mengusahakan sebuah bangunan berbentuk buah naga yang dijadikan tarikan pelancong untuk bergambar di ladangnya.
Namun siapa sangka, bangunan persis sebiji buah naga itu bukan sahaja mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records pada tahun 2021, malah turut dicatatkan dalam Guinness World Records hujung tahun lalu.
Kedua-dua pengiktirafan diberikan oleh dua badan berkenaan berdasarkan faktor struktur reka bentuk, saiz dan ketinggian bangunan buah naga itu.
Menurut Boon San, idea membina bangunan setinggi tiga tingkat itu tercetus pada 2020 dan memakan masa enam bulan untuk disiapkan.
“Pada mulanya, saya mahu bangunan tersebut menjadi mercu tanda Sepang yang membolehkan pelancong datang dan bergambar bersamanya.
“Lokasi ladang ini sangat strategik untuk bergambar berlatarbelakangkan pesawat yang terbang rendah sebelum mendarat pada setiap tiga hingga lima minit.
“Pelancong yang berada dalam kapal terbang juga dapat melihat bangunan ikonik ini sebelum mereka mendarat,” katanya ketika ditemui di ladang buah naga HL Dragon Fruit Eco Farm di Sepang, Selangor kepada Panorama.
Menurut Guinness World Records, bangunan tersebut yang berukuran tinggi 9.299 meter (m), lebar 9.410m dan kedalaman 7.146m ialah bangunan terbesar berbentuk buah naga di dunia.
Rekod dunia itu menjadi milik HL International Group pada 21 September 2023 setelah melepasi kriteria yang ditetapkan badan dunia berkenaan.
Majlis penyampaian sijil anugerah secara rasmi dikendalikan oleh adjudikator rasmi Guinness World Records, Emi Saito pada 20 November tahun lalu.

Untuk rekod, bangunan buah naga itu merupakan bangunan kedua di Malaysia selepas Menara Berkembar Petronas yang masih mendapat pengiktirafan tertinggi dunia dari segi struktur, saiz dan ketinggian.
Tambah bapa kepada tiga orang anak itu, bangunan tersebut perlu melalui pelbagai proses sebelum berjaya dilaksanakan memandangkan kedudukannya yang terletak kira-kira 26 kilometer (km) dari lapangan terbang.
“Saya memiliki pengalaman dalam bidang pembinaan, jadi saya faham mercu tanda yang dibina tidak boleh terlalu tinggi kerana ia bakal mengganggu pandangan pesawat ketika mendarat.
“Saya juga sangat terperinci berkenaan dengan reka bentuk buah naga yang memiliki kelopak-kelopak kecil.
“Saya juga memastikan warna buah tersebut tepat agar hasil akhir bangunan ini betul-betul memuaskan. Faktor-faktor ini menyumbang kepada pengiktirafan yang kami terima,” jelasnya.
Untuk pengetahuan, buah naga merupakan buah daripada spesies kaktus dan berasal dari Amerika Selatan.
Di ladang tersebut, terdapat empat jenis tanaman buah naga iaitu Hylocereus undatus (Honey white), Hylocereus costaricensis (Red ruby), Hylocereus polyrhizus (Pink ruby) dan Selenicereus megalanthus (Yellow king).
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif HL Restaurant and Cafe, Goh Siew Lan berkata, bangunan buah naga itu sebenarnya sebuah muzium yang mempersembahkan sejarah Sepang.
Ujar isteri kepada Boon San itu, pihaknya memerlukan masa dua bulan untuk menyiapkan lukisan menggunakan cat glow in the dark di dalam bangunan buah naga tersebut.
Hasilnya, lakaran mural pertanian tersebut mempunyai efek lampu diod pemancar cahaya (LED) tiga dimensi (3D) yang dipersembahkan dalam bentuk 360 darjah.
“Selain ekopelancongan, kami juga mementingkan aspek pendidikan sejarah kepada para pengunjung.
“Selain mereka mempelajari tentang penanaman buah naga, mereka boleh belajar tentang sejarah Sepang apabila memasuki muzium ini,” katanya.
Di tingkat bawah muzium berkenaan, pengunjung akan dipersembahkan dengan lakaran pemandangan Sepang sebagai bandar pertanian pada 100 tahun lalu.
Kelihatan lakaran saudagar Luo dari Singapura menerokai ladang gambir, lada dan kopi bersama rakyat tempatan pada 1886.
Terdapat juga lakaran kapal api berlabuh yang membawa barangan dari laut besar ke Sungai Sepang.
Di tingkat dua pula, pengunjung dibawa untuk melihat pembangunan Sepang pada zaman kini.
Antara pembangunan yang dipaparkan adalah lapangan terbang (mewakili KLIA 1 dan KLIA 2), ladang buah naga, feri di sungai Sepang, hutan bakau beserta ekosistem yang ada.
Kedua-dua tingkat ini memiliki pendingin hawa dan dilengkapi tangga berpusing yang menghubungkan di antara tingkat-tingkat berbeza.
Akhir sekali, pengunjung akan dibawa ke bahagian terbuka di ruangan paling atas bangunan buah naga. Di situ, mereka boleh melihat panorama ladang yang menempatkan kira-kira 3,000 pokok buah naga itu.
Jika bernasib baik, mereka dapat melihat bahagian bawah kapal terbang dengan jelas ketika pesawat tersebut melalui kawasan atas ladang.
Mengulas lanjut, Siew Lan percaya bangunan buah naga itu akan menjadi salah satu bangunan bersejarah di Sepang.
“Buah naga tumbuh mekar di Sepang dan menjadi salah satu sumber pendapatan penting bagi masyarakat di sini.
“Saya yakin, bangunan buah naga ini akan sentiasa menjadi tarikan yang menjadi identiti penduduk Sepang selama-lamanya,” ujarnya.














