LAPANGAN terbang berfungsi sebagai pintu masuk penting untuk sesebuah negara.
Ia menyediakan kemudahan yang diperlukan untuk pesawat, mengendalikan logistik kargo dan memenuhi keperluan berjuta-juta pelancong setiap tahun.
Apabila bilangan penumpang terus meningkat pada setiap tahun, beberapa lapangan terbang dilihat semakin mengalami kesesakan.
Untuk menangani perkara itu, beberapa negara sedang mengembangkan hab penerbangan mereka dengan terminal dan landasan baharu.
Dalam artikel kali ini, Panorama menyenaraikan lima lapangan terbang terbesar di dunia.
1. Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd, Arab Saudi
Lapangan terbang ini merupakan yang terbesar di dunia dari segi saiz kawasan, berukuran 774 kilometer persegi.
Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Dammam.
Memulakan operasi pada tahun 1999, lapangan terbang ini berfungsi sebagai hab untuk Saudia, Flyadeal dan Flynas.
Infrastruktur lapangan terbang ini terdiri daripada tiga bangunan terminal yang berbeza. Terminal utama, merangkumi enam tingkat, menempatkan penerbangan antarabangsa dan domestik.
Terminal Aramco pula menyediakan perkhidmatan eksklusif kepada syarikat penerbangan swasta yang dikendalikan oleh Saudi Aramco.
Selain itu, Terminal Diraja menawarkan perkhidmatannya kepada keluarga diraja Arab Saudi, tetamu rasmi dan pegawai kerajaan.
2. Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, Amerika Syarikat
Lapangan Terbang Antarabangsa Denver terletak di Colorado dan telah beroperasi sejak 1995.
Ia disenaraikan sebagai lapangan terbang kedua terbesar di dunia dan terbesar di Amerika Syarikat dengan keluasan 137 kilometer persegi.
Di samping itu, pihak pengurusannya juga mendakwa bahawa mereka memiliki lapangan terbang kedua paling sibuk di dunia berdasarkan bukti kepada jumlah aktivitinya.
Berfungsi sebagai hab untuk United Airlines, Southern Airways Express dan Denver Air Connection, ia juga beroperasi sebagai pangkalan untuk Southwest Airlines serta Frontier Airlines.
Terminal tunggal Lapangan Terbang Denver disambungkan ke tiga ruang tengah utama bagi menampung trafik udara, selain dilengkapi enam landasan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Denver turut mempamerkan koleksi karya seni ikonik dan unik. Antaranya, bahagian ‘Mustang’ yang terletak di luar lapangan terbang.

3. Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye
Sejak dibuka pada 2019, Lapangan Terbang Istanbul telah menjadi hab global utama untuk Turkish Airlines.
Lapangan terbang berkeluasan 76 kilometer persegi ini mempunyai satu terminal bagi melayani penerbangan domestik dan antarabangsa.
Lapangan Terbang Istanbul memiliki lima landasan dan ada yang melebihi atau 4,000 meter panjang.
Kapasiti ini membolehkan pengendalian yang cekap bagi sejumlah besar penerbangan.
Selain itu, lapangan terbang ini menawarkan kemudahan moden seperti ruang istirahat, kedai dan tempat makan, sekali gus menjadikannya cukup selesa.
4. Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas, Amerika Syarikat
Sejak 1973, Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas yang berpangkalan di Texas telah memainkan peranan penting sebagai hab penerbangan utama untuk American
Airlines, Ameriflight, Southern Airways Express dan UPS Airlines.
Lapangan terbang seluas 67 kilometer persegi itu juga memegang status bandar tumpuan untuk Spirit Airlines, Frontier Airlines dan Sun Country Airlines.
Lapangan Terbang antarabangsa Dallas mempunyai sejumlah lima terminal dan tujuh landasan. Perbezaan unik lapangan terbang ini, ia memiliki empat landasan berturap.
5. Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando, Amerika Syarikat
Dibuka sejak 1940, Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando memegang pengiktirafan sebagai pangkalan operasi penting untuk beberapa syarikat penerbangan terkemuka.
Ia memiliki keluasan sebesar 52 kilometer persegi dengan dilengkapi empat landasan.
Terminal utama Lapangan Terbang Orlando dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Terminal A, B dan C. Terminal A dan B telah dihubungkan bagi memudahkan penerbangan antarabangsa serta domestik.
Terminal C dikhususkan untuk penerbangan antarabangsa yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan bukan Amerika Syarikat dan semua penerbangan JetBlue.














