KLUANG – Apabila sebut jemput-jemput Warisan Pak Mail, pasti akan teringat dengan harga jualannya yang hanya bernilai 10 sen sebiji dan harga itu tidak pernah dinaikkan sejak mula berniaga lebih 15 tahun lalu.
Akibat keuzuran, Ismail Bakar, 77, yang lebih mesra dipanggil Pak Mail kini menyerahkan warisan perniagaan itu kepada anaknya, Zakidah, 32.

Malah, resepi dan rasanya masih sama seperti ‘zaman kegemilangan’ Pak Mail, namun harga terpaksa dinaikkan 10 sen menjadikan harga jualan terkini 20 sen sebiji.
Zakidah masih meneruskan amalan bapanya sebelum ini iaitu pelanggan boleh merasa dahulu sebelum membeli.
Menurut Zakidah, mereka terpaksa menaikkan harga 10 sen memandangkan banyak barangan keperluan untuk resepi jemput-jemput ini sudah naik harga terutama minyak masak serta buah-buahan.
“Jenis jemput-jemput yang dijual juga masih sama seperti jualan ayah saya sebelum ini iaitu daripada adunan buah-buahan seperti betik, pisang, labu, nanas, buah naga, tembikai susu serta campuran ikan dan udang.
“Sejujurnya tidak banyak keuntungan diperolehi dengan jualan berharga 20 sen sekarang ini, namun pesanan ayah yang mahukan kami berjual sambil bersedekah akan tetap dipatuhi.
“Ini kerana menurut ayah, bukan keuntungan yang dikejar, namun pahala bersedekah menjadi keutamaan dan daripada sedekah itu akan membuatkan rezeki kita bertambah,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Anak ke-10 dari 12 beradik itu juga akan bersedekah kepada orang ramai yang melalui gerai usangnya di Jalan Kampung Melayu, di sini selepas pukul 6 petang setiap kali berniaga.
Ujarnya, gerai jualannya dibuka setiap hari bermula pukul 2 petang dan kebanyakan pembeli yang datang adalah pelanggan setia ketika bapanya masih berniaga sebelum ini.
“Alhamdulilah, walaupun sedikit keuntungan, namun tetap memberikan kepuasan kepada kami dan mampu menampung pendapatan keluarga,” kata suri rumah sepenuh masa yang juga isteri kepada anggota tentera itu.














