SHAH ALAM – Berang apabila mendapati dadah yang ingin dihisap telah dibuang disyaki menjadi motif utama seorang lelaki bertindak membunuh ibunya sendiri dalam kejadian di Kampung Jawa, Klang dekat sini kelmarin.
Sumber berkata, mangsa berusia 56 tahun itu dikatakan tidak sempat untuk menjalani rawatan dialisis bagi penyakit buah pinggang yang dihadapinya apabila ditemui mati pada pukul 9.45 pagi.
Katanya, mangsa telah dipukul dengan sebatang tukul besi dan kasut keselamatan oleh anak lelakinya yang berusia 33 tahun.
“Ketika mengamuk, perbuatan suspek itu turut disaksikan oleh bapanya. Sebelum dipukul, dua beranak itu telah bertengkar pada tengah malam.
“Pergaduhan berpunca apabila suspek yang bekerja sebagai tukang gunting rambut telah menuduh ibunya membuang dadah miliknya. Suspek yang hilang pertimbangan telah memukul kaki, muka, kepala dan belakang badan ibunya,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut sumber, suspek turut mengugut bapanya yang berusia 62 tahun supaya tidak mencampuri urusan mereka sekiranya tidak mahu menerima nasib yang sama.
Tambahnya, siasatan mendapati mangsa menjadi OKU selepas kaki kanannya dipotong sehingga paras betis akibat penyakit kencing manis.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan memakai pakaian tidur di dalam bilik rumahnya. Mangsa sepatutnya mendapatkan rawatan dialisis di sebuah hospital pagi semalam (kelmarin),” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya berjaya memberkas suspek di tempat kerjanya di Taman Sentosa, Klang dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi.
Beliau menambah, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod termasuk dua daripadanya berkaitan dadah.
“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 6 Mac depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Salwani Samsudin di talian 013-244 4234 bagi membantu siasatan.














