JOHOR BAHRU – Biarpun sudah lima tahun pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang di sini berlaku, namun tragedi hitam itu masih menghantui penduduk di kawasan berhampiran sungai berkenaan sehingga kini.
Malah setiap kali terhidu sesuatu yang pelik seperti bau sabun atau asap, mereka dihimpit rasa takut kejadian malang itu berulang.
Trauma penduduk makin kuat apabila Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri memaklumkan empat sungai di Pasir Gudang berada dalam tahap membimbangkan kerana pencemaran berada dalam tahap tiga dan empat.
Empat sungai tersebut ialah Sungai Kim Kim, Sungai Tukang Batu, Sungai Perembi dan Sungai Buluh yang merentasi kawasan kediaman penduduk.
Mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, Nur Fatin Adnin Mohd. Sairul, 19, berkata, dia trauma apabila terhidu bau yang tidak menyenangkan selain panik setiap kali mendengar berita tentang isu pencemaran.
Menurutnya, ketika kejadian pada 2019 itu, dia yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih pengsan sebaik terhidu bau bahan kimia.
“Saya berharap sangat kejadian pencemaran sisa bahan kimia tidak berulang lagi kerana boleh membahayakan orang ramai. Cukup sekali apa yang sudah terjadi,” katanya.
Penduduk lain, Muhammad Akid Dinie Shuhaimi, 19, berkata, tindakan segera perlu diambil sekiranya empat sungai yang tercemar semakin kritikal.
“Kalau berlaku lagi percemaran sudah tentu ia akan menyusahkan penduduk terutama di taman-taman perumahan di sekitar Pasir Gudang.
“Saya berharap pihak berkuasa mengambil berat isu pencemaran empat sungai ini,” ujarnya.
Pencemaran Sungai Kim Kim pada 2019 akibat pembuangan sisa toksik telah mengakibatkan kesihatan lebih 2,000 penduduk dan 111 sekolah ditutup.














