fbpx

DUN Selangor: Rumah Selangorku Morib siap Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Fail - Demontrasi aman pembeli Rumah Selangorku Morib pada Julai tahun lalu. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Penantian pembeli projek Rumah Selangorku di Morib sejak tiga tahun lalu bakal berakhir apabila dijangka siap Disember ini sebelum diserahkan kepada para pembeli.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, ini selepas pihak pemaju berjaya menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dengan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dengan mengemukakan
‘bank guarantee’ dan sistem bekalan luaran interim telah mendapatkan kelulusan.

Justeru, kata beliau, kerja-kerja infrastrutur berkaitan boleh dilaksanakan oleh pemaju.

“Terdapat pindaan pelaksanaan projek dan jaminan diberikan pihak pemaju dan dipantau Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bahawa pada Disember ini akan diserahkan kepada pembeli.

“Jaminan ini adalah turutan keputusan dan apa sahaja dibuat pemaju yang telah berjanji kepada MPKL dan LHPS.

“Antara kelewatan (projek Rumah Selangorku Morib) kerana ada masalah dana bagi pembayaran bank guarantee yang pada asalnya sebanyak RM18 juta. Namun, atas usaha diberi serta sokongan Menteri Besar (Selangor) dan kita memberikan kelonggaran sedikit, (pemaju) telah dapat lunaskannya kepada pihak utiliti,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rosnizan Ahmad (PN-Morib) yang ingin mengetahui status terkini Rumah Selangorku Morib.

Menurut Borhan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat, perkembangan tersebut hasil beberapa siri mesyuarat dan lawatan tapak telah dilakukan bagi memantau pembinaan projek Rumah Selangorku Morib jenis Pangsapuri Anggun oleh pihak kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan.

Ujarnya, pihak Jabatan Perumahan Negara telah mengadakan mesyuarat bersama pihak pemaju pada 20 Januari lalu dengan hasilnya terdapat jadual pelaksanaan projek dijangka siap pada Disember ini.

“Ini bermakna adalah lapan bulan daripada sekarang dan jadual (siap projek) adalah selaras seperti mana dikemukan LPHS,” katanya.

Kosmo! pada Julai tahun lalu melaporkan, impian kira-kira 500 pembeli projek perumahan di Morib di sini yang kebanyakan golongan B40 memiliki rumah sendiri terus tertangguh apabila gagal disiapkan sejak tiga tahun lalu.

Susulan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan projek berkenaan akan dibawa ke Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk campur tangan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan ketika itu, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir meluahkan rasa kesal selepas pengurusan tertinggi syarikat pemaju tersebut tidak hadir ketika lawatan projek pada 14 September tahun lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI