GEORGE TOWN – Trend pembelian seragam sekolah dikatakan menurun pada kali ini dan ibu bapa dikatakan hanya membeli kelengkapan sekolah bagi anak untuk tahun satu dan tingkatan satu sahaja.
Perkara itu diakui pengusaha Kedai Pakaian dan Kelengkapan Sekolah Wah Bee, Alex, apabila mengatakan ‘gelombang’ pembelian pakaian seragam untuk sekolah rendah dan menengah kali ini didapati berkurangan antara 20 hingga 30 peratus.
Menurutnya, meskipun jumlah kehadiran pelanggan ke premisnya masih sama, namun kuantiti yang dibeli hanya sepasang sahaja bagi setiap anak.
“Sebelum ini, seorang daripada mereka (pelanggan) akan datang membeli empat pasangan pakaian seragam untuk anak tetapi kali ini cuma sepasang atau dua pasang sahaja.
“Gelombang ini dapat dilihat apabila ibu bapa hari ini lebih mengutamakan keperluan untuk anak-anak yang hendak memasuki ke Tahun Satu atau di Tingkatan Satu, malah jarang sekali berlaku untuk anak di Tahun Dua ke atas termasuk Tingkatan Dua.
“Jumlah pembeli masih sama tetapi bilangan pembeliannya yang berkurangan. Premis ini mula dibanjiri pelanggan sejak Sabtu lalu, selepas perayaan Tahun Baru Cina dan kakitangan kerajaan mula menerima bonus,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Beritahu Alex lagi, pembelian kasut sekolah tahun ini tetap sama dan menjadi pilihan majoriti pelanggannya termasuk mereka yang mendapat bantuan dari pelbagai agensi.
Dalam pada itu, Alex memberitahu lagi, kali ini berlaku peningkatan sehingga 30 peratus tempahan baju sukan untuk jualan di koperasi sekolah.
“Sebelum ini, saya hanya menerima kira-kira 800 helai tempahan baju sukan untuk sebuah sekolah, namun kali ini naik kepada 1,000 helai di koperasi sekolah yang sama.
“Ini kemungkinan selepas pengumuman kerajaan yang masih menetapkan pemakaian baju sukan selama dua hari manakala sehari lagi ditetapkan untuk pemakaian seragam kokurikulum,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha kedai pakaian sekolah di Bayan Lepas, Raymond berkata, berlaku penurunan terhadap trend pembelian pakaian seragam sekolah sehingga 40 peratus bagi sesi persekolahan 2024/2025 kali ini.
“Memang kurang pelanggan yang memberi pakaian seragam sekolah. Ramai membeli hanya dua pasang meskipun ada empat anak yang bersekolah.
“Kali ini, ramai yang membeli baju-t dan seluar trek hitam untuk dipakai anak ke sekolah nanti. Memang nampak pertambahan bilangan pembelian berbanding pakaian seragam,” jelasnya.















