fbpx

Kastam berjaya dakwa dua individu seludup 10.32 juta rokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Dua individu dan sebuah syarikat iaitu Lumayos Sdn. Bhd. dijatuhkan hukuman oleh mahkamah ekoran tindakan mengelak larangan terhadap barang larangan import dalam satu kejadian di Pelabuhan Klang, Selangor pada 2019.

Mereka dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976.

Menurut kenyataan dikeluarkan Cawangan Perhubungan Awam Jabatan Kastam Diraja Malaysia, mahkamah telah mensabitkan semua tertuduh dengan kesalahan dan menjatuhkan hukuman pada 21 Februari 2024.

“Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, denda mahkamah sebanyak RM35.04 juta dan sekiranya gagal membayar akan dikenakan enam bulan penjara.

“Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 pula, denda mahkamah sebanyak RM41.28 juta dan sekiranya gagal membayar akan dikenakan enam bulan penjara,” katanya tadi.

Jelas kenyataan itu, berdasarkan Seksyen 119A Akta Kastam 1967, semua tertuduh hendaklah membayar duti import sebanyak RM2.064 juta dan sekiranya gagal membayar akan dikenakan enam bulan penjara.

“Berdasarkan Seskyen 59A Akta Eksais 1976, semua tertuduh hendaklah membayar duti eksais sebanyak RM4.1 juta dan sekiranya gagal membayar akan dikenakan enam bulan penjara.

“Mahkamah telah membenarkan permohonan pembelaan bagi stay of execution dengan syarat tambahan iaitu membayar wang jaminan yang dinaikkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

“Semua tertuduh perlu melaporkan diri ke Balai Polis yang berdekatan pada setiap bulan. Sabitan hukuman ini adalah sebagai satu bentuk teladan dan pengajaran kepada
tertuduh serta orang awam,” katanya.

Terdahulu, pada 29 Oktober 2019, pemeriksaan kastam terhadap kontena terlibat menunjukkan bahawa dagangan diikrarkan sebagai Ladies Skirt, Women Dress dan Vest.

Ia berbeza dengan isi kandungan fizikal dagangan yang ditemui iaitu rokok berjumlah 10.32 juta batang serta bernilai RM3,504,000 dengan jumlah duti dan cukai keseluruhannya sebanyak RM6.19 juta.

Hasil siasatan mendapati tertuduh melakukan kesalahan dengan niat mengelak larangan terhadap barang larangan import iaitu rokok dan dengan niat memfrod kerajaan terhadap apa-apa duti ke atas barang berduti eksais. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI