fbpx

2 cedera bot mewah karam ketika tunggu pesanan nasi kandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan bot mewah yang karam di perairan dekat Persiaran Karpal Singh, Sungai Pinang, petang tadi.

GEORGE TOWN – Dua daripada empat lelaki termasuk kapten dan penumpang dilaporkan mengalami kecederaan dalam tragedi sebuah bot mewah yang karam di perairan berdekatan Persiaran Karpal Singh, Sungai Pinang di sini, petang tadi.

Kesemua mangsa termasuk yang cedera masing-masing berusia 52 tahun itu berjaya diselamatkan nelayan pantai kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, A’ Azelan Hassan berkata, pasukan penyelamat berjaya menghubungi pemilik bot mewah yang didaftarkan di Langkawi, Kedah itu petang tadi sebaik menerima panggilan berhubung kejadian berlaku.

Menurutnya, bot mewah berkenaan ketika itu dalam pelayaran dari Port Dickson, Negeri Sembilan sejak kelmarin menuju ke Pulau Langkawi.

“Kami dimaklumkan yang kesemua mangsa sebelum kejadian dikatakan sedang menunggu pesanan nasi kandar yang akan dihantar rakan mereka ke situ.

“Ketika menunggu, telah berlaku letupan pada generator bot sehingga menyebabkan dua mangsa terdiri kapten dan penumpang cedera dipercayai akibat terkena serpihan kaca. Memang terdapat kesan darah pada dek bot berkenaan.

“Kapten bot mengalami kecederaan pada kaki manakala rakannya pula cedera pada telinga dan tangan. Mangsa telah dihantar ke klinik berhampiran oleh nelayan pantai yang berada berhampiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, sebentar tadi.

Beritahunya lagi, dua lagi penumpang yang juga rakan mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan stabil.

Jarak lokasi kejadian dengan persisiran pantai di situ terletak kira-kira 300 hingga 500 meter.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 5.08 petang tadi.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan identiti pengemudi dan mangsa yang terlibat dalam tragedi kapal layar karam (maklumat awal) sedang dikenal pasti.

Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 2.40 petang tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi tersebut dengan kerjasama pasukan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI