fbpx

1MDB: Saya rasa sering diperhatikan – Jasmine Loo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak membuat sebarang laporan polis mengenai ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low kerana merasakan dirinya sering diperhatikan.

Selain itu, Jasmine turut menyatakan bahawa beliau sentiasa merasakan akan menerima akibat buruk sekiranya melanggar arahan Jho Low atau Low Teak Jho.

“Jho Low pernah memberi amaran, beritahu saya agar tidak merosakkan rancangannya kerana dia sedang berbincang dengan kerajaan baharu ketika itu (selepas kejatuhan Barisan Nasional) kerana ada sesuatu berlaku di Thailand ketika itu. Tetapi Jho Low tidak jelaskan perkara apa.

“Saya ada bercakap secara langsung dengan dia. Dia ugut saya bahawa akan ada kesan terhadao saya jika pulang ke tanah air, jadi saya rasa terancam. Saya tidak mahu risikokan diri saya walaupun saya tidak buat kesalahan,” katanya.

Selain itu, Jasmine memberitahu, Jho Low turut mengarahkannya supaya berpindah daripada Thailand ke Kemboja sebelum ke beberapa lokasi lain seperti Hainan dan Shenzen di China serta Myanmar.

Kali terakhir Jasmine bertemu dengan Jho Low ialah pada 2017 di China bagi membincangkan mengenai potensi bagi projek untuk membangunkan sebuah pusat beli belah di Thailand.

Pada prosiding sebelum ini, wanita terbabit memberitahu, beliau berada di Bangkok, Thailand sewaktu keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 diumumkan sekaligus menyaksikan kejatuhan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada prosiding hari ini, Jasmine turut mengakui bahawa beliau merupakan antara kawan rapat Jho Low dan sering menyertai `percutian keluarga dan rakan rapat’ Jho Low.

Tambahnya, beliau pernah bercuti, berparti dan berjudi dengan ramai selebriti Hollywood seperti Leonardo DiCaprio, Alicia Keys; model ternama seperti Adrianna Lima dan bekas pemain bola sepak, David Beckham.

Jasmin turut mengakui pernah menerima hadiah mahal seperti jam tangan mewah Richard Mille yang dianggarkan berharga di antara RM500,000 hingga RM3 juta dan beg jenama Hermes.

Pada ketika ini, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan bahawa beliau tidak pernah diajak oleh Jho Low walaupun pernah dihubungi lelaki berkenaan.

“Awak kawan rapat dia (Jho Low) ke?”soal Jasmine.

Selain itu, Jasmine menyatakan bahawa Jho Low merupakan seorang bercakap lembut dan tidak pernah berkasar namun semuanya bertukar sekitar 2015 dan 2016.

Wanita itu mengakui bahawa perubahan itu berlaku apabila skandal penyelewengan dana RM2.23 bilion milik 1MDB terbongkar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI