fbpx

Pencarian 50 PMKS terbaik Malaysia bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ewon (tengah) bersama Timbalannya, Datuk Ramanan Ramakrishnan (kedua kiri) dan Pengerusi SME Corp., Tan Sri Panglima Bernard Giluk Dompok (kiri) ketika merasmikan Anugerah E50 di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pencarian 50 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terbaik di Malaysia kini bermula selepas Anugerah Enterprise 50 (E50) 2024 dilancarkan hari ini.

Bertemakan ‘Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia’, Anugerah E50 anjuran SME Corporation (SME Corp) ini berlangsung kali ke-24 sejak diperkenalkan pada 1997.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick berkata, Anugerah E50 memfokuskan PMKS tempatan yang menghasilkan produk dan perkhidmatan berkualiti untuk pasaran sama ada dalam dan luar negara.

Ujarnya, anugerah itu merupakan satu mekanisme penilaian dan pengiktirafan kepada PMKS yang mampu mendorong perubahan ke arah peningkatan daya saing untuk meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negara.

“Tahun ini kita menyasarkan semua golongan tidak kira latar belakang untuk sertai, sama ada wanita, belia atau pun PMKS di kawasan pedalaman. Kita buka pendaftaran seluas-luasnya.

“Kita juga akan memperkenalkan anugerah khas baharu iaitu Anugerah bagi Amalan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memperakui syarikat PMKS yang menjadikan ESG sebagai agenda utama dalam perniagaan.

“Saya berharap Anugerah E50 tahun ini akan menyemarakkan lagi semangat juang PMKS untuk cipta kejayaan yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Anugerah E50, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Sistem Bersepadu Penarafan dan Insentif PMKS (Sistem MyBPI) berjaya dibangunkan bagi membolehkan para PMKS memohon bantuan kewangan secara dalam talian selain mendaftar status PMKS.

“Para PMKS juga boleh melaksanakan Program Penilaian Penarafan Daya Saing PKS bagi Peningkatan (SCORE) dalam Sistem MyBPI selain membuat permohonan bagi Anugerah E50 sebelum tarikh tutup 30 Jun ini,” katanya.

Sehingga kini, seramai 2,225 PMKS meyertai Program ini dan 763 syarikat menerima Anugerah E50.

Daripada jumlah itu, seramai 67 pemenang berjaya tersenarai di pasaran modal serta berjaya meluaskan pasaran dalam dan luar negara.

Selain itu, pemenang-pemenang ini juga berhak menggunakan logo Anugerah E50 dan juga mendapat keutamaan pada program di bawah SME Corp. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI