fbpx

9 cedera kemalangan lima kenderaan di Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah sebuah kenderaan yang terlibat kemalangan di KM 291.8 arah Selatan Lebuh Raya Utara Selatan dekat Ipoh hari ini. - Foto IHSAN JBPM

IPOH – Sembilan mangsa membabitkan tiga warga Singapura cedera dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer (KM) 291.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, setibanya pihak bomba di lokasi kejadian pada pukul 1.01 tengah hari, didapati lima buah kenderaan terlibat dalam insiden itu.

Menurut Sayani, kenderaan terlibat ialah sebuah Perodua Myvi yang dinaiki seorang lelaki dan wanita dewasa berusia 30-an serta seorang kanak-kanak berusia setahun.

“Sebuah lagi kenderaan ialah Perodua Myvi dinaiki lelaki berusia 20-an, Perodua Viva (lelaki berusia 40-an) dan kenderaan pelbagai guna berjenama Hyundai dinaiki lelaki berusia 20-an serta tiga warga Singapura (seorang lelaki dan dua wanita berusia 60-an).

“Kenderaan kelima telah beredar dari lokasi kejadian semasa jentera pertama sampai kerana melibatkan pelanggaran yang sedikit sahaja,” katanya, di sini hari ini.

Sayani berkata, enam mangsa menerima rawatan daripada pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba dan seorang lagi dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

“Dua orang lelaki yang berada di kenderaan masing-masing cedera ringan sahaja. Komander operasi membuat ‘size up’ dan mengaplikasikan konsep Saver untuk memastikan tiada keberbahayaan.

“Anggota turut membuat rawatan awal kepada mangsa sebelum menghantar mereka ke hospital berhampiran,” ujarnya. –  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI