fbpx

Ganjaran RM10,000 buat pertubuhan belia kreatif anjur program

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAM Adli (tengah) bersama para belia pada Program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Seremban hari ini. Foto oleh NUR SHARIEZA ISMAIL.

SEREMBAN – Ganjaran sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada mana-mana pertubuhan belia di seluruh negara yang berjaya menganjurkan program dengan kreativiti sendiri tanpa bergantung kepada dana yang disediakan kerajaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, ia sebagai satu cabaran kepada pertubuhan belia di peringkat akar umbi yang mempunyai inisiatif dan bermodalkan rendah dalam menganjurkan program bagi menarik minat belia berdaftar dengan persatuan.

“Kita mahu dengan program bermodalkan hanya RM1,000 tersebut, ia boleh menarik sekurang-kurangnya 1,000 belia berdaftar, jadi saya rasa mereka layak diberi ganjaran RM10,000 dan akan diberi pada tahun hadapan.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai dana pengiktirafan dalam bentuk sokongan, tetapi kami mahu melihat mereka buat itu dahulu,” katanya pada Program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Adam Adli berkata, KBS bersetuju dengan cadangan penglibatan pertubuhan belia ke peringkat sekolah dalam turut sama menyumbang merit kepada pelajar dalam kokurikulum sekolah sedia ada.

“Berikutan itu, isu tersebut akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI