fbpx
GIBRAN RAKABUMING RAKA

Gibran presiden masa depan Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA 14 Februari lalu, hampir 204 juta pengundi di Indonesia menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu) 2024.

Pada pilihan raya sehari terbesar di dunia itu, pemilih perlu membuat tiga pilihan iaitu Pilihan Raya Presiden (Pilpres), pemilihan legislatif (Pileg) dan pemilihan kepala daerah (Pilkada).

Daripada tiga pemilihan tersebut, Pilpres sudah pasti menjadi tumpuan memandangkan para pengundi perlu memilih calon presiden negara kepulauan terbesar di dunia itu untuk penggal 2024-2029.

Pada Pilpres kali ini, terdapat tiga gandingan berentap bagi menjawat kerusi panas tersebut iaitu Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar, Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD.

Hasil pengiraan pantas atau quick count, gabungan Prabowo-Gibran berjaya mendahului pencabar lain dengan peratusan melebihi 50 peratus berbanding pesaing lain.

Berdasarkan semakan di laman Komisi Pemilihan Umum (KPU), Prabowo-Gibran kekal mendahului dengan 58.88 peratus (%), diikuti Anis-Muhaimin (24.09%) dan Ganjar-Mahfud (17.03%) dengan data masuk menjangkau 74.40%.

Jika angka ini kekal sehingga 20 Mac ini iaitu tarikh pengumuman rasmi Pemilu 2024, maka gandingan Prabowo-Gibran bakal memenangi Pilpres secara mutlak, sekali gus menerajui negara berkepadatan 273 juta orang.

Biarpun ketika ini media asing di seluruh dunia tertumpu kepada bakal calon presiden, Prabowo, namun penulis lebih tertarik dengan calon wakil presiden (cawapres), Gibran yang baru berusia 36 tahun. Gibran bakal menjadi wakil presiden termuda di Indonesia.

Siapakah Gibran? Bagaimana beliau boleh dicalonkan sebagai cawapres sehingga berjaya memenangi Pemilu 2024? Bagi masyarakat di Malaysia, susuk Gibran ini boleh dianggap cukup asing, namun tidak buat kebanyakan rakyat di Indonesia. Gibran ini cukup terkenal sejak 10 tahun lalu terutamanya dalam media sosial. Apa tidaknya, bapanya merupakan presiden Indonesia, Jokowi.

Malah, beliau merupakan seorang Wali Kota Surakarta (Solo) sejak Februari 2021. Pada masa sama, beliau memiliki rangkaian perniagaan cukup popular di negara seberang itu.

“Tiga bulan lalu, saya bukan siapa-siapa. Hasil dukungan semua, saya sudah berada di sini. Terima kasih kepada Pak Prabowo kerana memberi ruang kepada saya dan anak-anak muda menjadi sebahagian daripada usaha menuju Indonesia emas,” ujar Gibran.

Rata-rata netizen di Indonesia menganggap Gibran sebagai bakal presiden di negara berkenaan pada masa depan. Meskipun begitu, ada pihak yang melihat Gibran masih tidak layak untuk menjadi wakil presiden kerana kekurangan pengalaman. Ia diburukkan lagi dengan sifatnya yang agak pendiam dan tidak pandai menjawab pertanyaan.

Sebagai anak muda, penulis merasakan tidak ada salahnya Gibran diberi peluang untuk menjawat jawatan tertinggi itu. Mungkin Gibran dilihat sebagai susuk yang kurang mesra dan tidak pandai berpidato, namun bagi penulis ia bukan satu masalah. Sebenarnya, sesebuah negara itu bukannya memerlukan seorang pemimpin yang pandai berpidato berapi-api di atas pentas politik.

Sebaliknya, kita memerlukan seorang pemimpin yang boleh buat kerja, tunai janji dan memahami denyut nadi rakyat di bawah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN