fbpx
Gambar hiasan

Tiap kali raya ‘kita buat-buat terkejut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK sampai tiga minggu lagi kita akan menyambut Ramadan. Bulan yang ‘meriah’ dengan segala kebaikan. Bercerita mengenai bulan ibadah ini, kita tidak boleh lari daripada persiapan lebarannya pula.

Ada syarikat-syarikat sudah mula menempah bufet Ramadan. Tidak kuranglah tujuannya untuk meraikan staf, waima pelanggan-pelanggan setia mereka. Sejujurnya penulis kurang berminat untuk menghadiri bufet Ramadan sebegitu.

Untung ‘orang kerajaan’ kerana hari ini mereka menerima Bayaran Insentif Awal RM2,000. Bayaran dibuat kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak. Seluruh anggota beruniform, baik polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata turut menerima RM1,000.

Selain itu, tidak dilupakan juga isentif RM1,000 kepada pesara kerajaan, veteran berpencen termasuk veteran tidak berpencen. Nikmatilah. Mereka ada wang lebih untuk dibelanjakan.

Kenalan penulis sudah berkira-kira untuk membawa keluarga bercuti sebelum sesi persekolahan dibuka pada 10 dan 11 Mac ini. Itupun ujarnya selepas membeli kelengkapan persekolahan anak-anak. Lihat ‘modal’ tinggal berapa, barulah merancang untuk ke mana. Langkah bijak apabila dahulukan keperluan sebelum kemahuan.

Kedai-kedai makan penuh, lebuh raya-lebuh raya bakal ‘berbaris’ dengan kenderaan. Hentian rehat dan rawat akan sesak dengan orang ramai, mahu menggunakan tandas pun terpaksa beratur tunggu giliran. Lihat sahaja suasana di Melaka pada Selasa lalu. Penuh sesak susulan Kerajaan Negeri Melaka menawarkan tiket percuma di 10 lokasi tarikan pelancongan pada Selasa lalu.

Cuma yang menjadi kebimbangan penulis adalah sikap sesetengah pihak yang gemar ‘menekan’ pengguna. Golongan ‘mencekik darah’ ini ada sahaja ‘akal’ untuk memeras wang orang ramai.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, menjelang sambutan perayaan, tiba-tiba harga barangan keperluan naik mendadak. Contohnya, jika minggu ini harga runcit ayam RM9.40 sekilogram, tak semena-mena bermula esok sudah jadi RM10.80.

Kita sebagai pengguna ini tidak perlu melatah. Elok sekiranya ‘buat-buat terkejut’ disusuli tindakan gosok, urut dada. Lupakan sahaja situasi sama dilalui raya puasa dan raya haji tahun lalu dan tahun kelmarin, anggap saja ia hanya deja vu.

Sebenarnya begitulah sikap orang kita, tidak kurang jijik pun berbanding sikap buruk pengguna laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Padang Tengku, Lipis ke Gua Musang, Kelantan.

Setiap kali musim perayaan mesti laluan tersebut dipenuhi sampah sarap. Lebih parah pekerja pembersihan terpaksa mengutip botol berisi air kencing dibuang pengguna LTU.

Alasan yang diberikan adalah kerana tiada hentian rehat disediakan di sepanjang laluan dari Padang Tengku ke Gua Musang sejauh kira-kira 80 kilometer.

Pokok pangkalnya adalah sikap kita sendiri. Lepas mengharungi kesesakan berjam-jam terpaksa berhenti di tepi laluan, makan, tukar lampin anak-anak, kumpulkan elok-elok sisa buangan, masukkan ke dalam kenderaan dan buanglah apabila bertemu tong sampah sama ada ketika tiba di Gua Musang atau di Lipis.

Jika berulang lagi perkara ini pada raya nanti, sama-samalah kita ‘buat-buat terkejut’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN