fbpx

Shahrulnizam dilantik Ketua Polis Petaling Jaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrulnizam.

PETALING JAYA – Penolong Pengarah Perjawatan Cawangan Perjawatan Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail dilantik sebagai sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid yang bertukar ke Penolong Pengarah Perjawatan Cawangan Perjawatan Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, dengan disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi.

Fakhrudin ketika berucap dalam majlis tersebut gagal menahan sebak apabila mengimbau kembali kenangan selama hampir tiga tahun berkhidmat di daerah itu.

“Banyak kenangan pahit dan manis sepanjang dua tahun 10 bulan berkhidmat mengetuai daerah ini. Kerjasama yang erat antara Ketua Polis Selangor, pegawai tinggi, rendah, ketua jabatan tidak lupa juga sahabat ketua polis daerah yang lain.

“Tiga peristiwa yang sukar dilupakan sepanjang berkhidmat di sini ntaranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pilihan Raya Umum (PRU-14), dan Pilihan Raya Negeri (PRN) daerah Petaling Jaya,” katanya.

Sementara itu, Hussein dalam ucapannya menyifatkan tugas yang dijalankan Fakhruddin sepanjang berkhidmat di IPD Petaling antara yang terbaik.

“Semuanya adalah ‘A’. Saya boleh berikan contoh bagaimana Ketua Polis Daerah (KPD) (Fakhrudin) ini menangani PRN tahun lepas dan IPD Petaling Jaya juga antara yang mencatatkan penurunan indeks jenayah tahun lalu.

“KPD ini turut turun padang dan kemas kini pada saya segala apa usaha khusus kes adik Zayn Rayyan. Saya amat kagum dan minta KPD lain jadikan Fakhrudin sebagai contoh,” katanya.

Mengambil seruan yang disarankan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Shahrulnizam berkata, beliau akan memastikan tata kelola dan akauntabiliti pegawai dan anggota sentiasa di tahap terbaik.

“Saya nak pastikan masyarakat sentiasa selamat. Kerjasama dengan masyarakat dan pastikan moto ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’ sentiasa diterapkan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain dalam masyarakat.

“Apa yang dicapai Fakhrudin perlu saya kejar dan cabaran bagi saya, hasrat yang ingin sampaikan adalah untuk kekalkan tahap kecemerlangan IPD Petaling Jaya seiring dengan tahap sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI