fbpx

Malaysia setuju tingkatkan bantuan kewangan untuk UNRWA – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar mengadakan perbincangan dengan Presiden Mesir melalui panggilan telefon semalam.

PETALING JAYA – Malaysia bersetuju meningkatkan bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) susulan tindakan beberapa negara besar menghentikan sumbangan kepada UNRWA.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi melalui panggilan telefon semalam.

“Selain bantuan tahunan, Malaysia baru-baru ini telah menyumbang tambahan AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA, selain AS$250,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan AS$500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar berkata, dalam perbualan telefon dengan Presiden Mesir semalam, beliau mengucapkan tahniah atas kemenangannya dalam pilihan raya negara tersebut.

Kata Perdana Menteri, beliau turut menyatakan penghargaan atas peranan penting Presiden Sisi dan kerajaan Mesir membantu mempermudahkan urusan penghantaran 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai AS$1.2 juta dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza.

Ujar beliau, mereka berdua malah senada dalam menzahirkan komitmen berterusan membantu rakyat Palestin.

“Saat ini, beberapa Ahli Parlimen Malaysia daripada blok kerajaan dan pembangkang sedang dalam perjalanan ke Rafah bagi menyatakan sokongan buat Mesir dan membantu urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari negara kita ke Gaza.

“Alhamdulillah, Presiden Sisi dan kerajaan Mesir membantu urusan wakil kita dan semua Ahli Parlimen Malaysia telah diberi kebenaran untuk mengunjungi sempadan Rafah,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, di akhir perbualan tersebut, kedua-dua mereka menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir bukan saja berkenaan isu Palestin, malah merangkumi soal perdagangan dan ekonomi.

“Saya juga jemput Presiden Sisi untuk berkunjung ke Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI