fbpx

Jangan taasub membuta tuli individu dakwa keturunan Nabi – Mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maula dikatakan warga Maghribi didakwa berada dalam jalur keturunan Nabi Muhammad.

GEORGE TOWN – Umat Islam diingatkan bahawa keturunan yang mulia tidak memberi sebarang manfaat kepada seseorang jika dia adalah seorang yang tidak taat kepada hukum dan ajaran agama seperti yang disampaikan Rasulullah SAW.

Peringatan itu disampaikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor susulan terbongkar kegiatan seorang lelaki warga Maghribi yang mendakwa berada dalam jalur keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW.

Wan Salim berkata, seorang hamba abdi yang beriman dan bertakwa atau soleh adalah lebih baik daripada seorang berketurunan nabi tetapi jahat dan fasik.

“Saya menyokong nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) supaya masyarakat mengelak daripada sikap taasub secara buta tuli kepada seseorang yang mendakwa sebagai keturunan Nabi Muhammad.

“Sikap taasub sedemikian menyebabkan fikiran seseorang tertutup daripada melihat kebenaran. Jadi selidiklah dahulu latar seseorang supaya tidak mudah menjadi mangsa tipuan individu atau kumpulan yang berkepentingan,” katanya di sini, hari ini.

Wan Salim

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, kira-kira dua tahun lalu lelaki yang digelar Maula al-Amin itu pernah dibawa oleh para pengikutnya ke Pulau Pinang.

“Saya adalah antara orang yang dijemput untuk hadir bersama dalam satu majlis selawat nabi bersama lelaki ini yang diadakan di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM).

“Walaupun pada mulanya saya telah menyatakan persetujuan untuk hadir ke majlis tersebut, namun kemudian saya membatalkannya setelah meragui kesahihan bahawa dia adalah daripada keturunan Rasulullah.

“Saya meragui dakwaannya itu berdasarkan maklumat yang saya peroleh daripada sumber pelajar Malaysia di Maghribi itu sendiri yang tahu latar belakang individu berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, sebenarnya semua pihak tidak boleh menafikan bahawa keturunan Rasulullah sememangnya masih wujud sehingga ke hari ini, iaitu daripada Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI