fbpx
Keadaan di kawasan perumahan yang seolah-olah baru dilanda ribut selepas diceroboh sekumpulan gajah di Bandar Sri Perani, Kota Tinggi kelmarin.

Gajah Kota Tinggi ‘serang’ penempatan penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Bukan sekali, malah lima kali kawasan perumahan di Bandar Sri Perani di sini, ‘diserang’ sekumpulan gajah sehingga penduduk kini tidak dapat tidur lena.

Seorang penduduk, Junaidi Jalil, 46, berkata, dalam kejadian terbaharu, mereka dikejutkan dengan kehadiran haiwan tersebut pada pukul 3.30 pagi kelmarin.

Katanya, dianggarkan 13 ekor gajah dilihat menceroboh pe­nempatan mereka dan turut me­rosakkan tanaman yang terdapat di sekitar rumah penduduk.

“Gajah liar ini datang berkumpulan bermula pada pukul 3.30 pagi hingga 6.10 pagi. Kami terkejut apabila terdengar bunyi aneh di luar rumah. Gajah yang datang bukan kecil, tetapi besar.

“Ini adalah kali kelima kawasan perumahan, di sini, di­ceroboh gajah, namun kali ini habis tanaman penduduk musnah dan anggaran kerugian yang dialami mencecah sehingga RM5,000,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Junaidi memberitahu, gajah-gajah itu dipercayai dari hutan berhampiran dan datang ke kawasan perumahan mereka untuk mencari makan.

Katanya, penduduk terpaksa melakukan gotong-royong membersihkan kesan kerosakan yang dilakukan gajah liar itu yang seolah-olah baru sahaja dilanda ribut di kawasan perumahan itu.

“Aduan mengenai pencerobohan haiwan itu telah dibuat kerana ia bukan sekali berlaku, namun sehingga kini masalah masih belum selesai.

“Kami sekarang nak tidur lena pun susah, bimbang akan ke­selamatan diri dan keluarga jika gajah itu bertindak ganas.

“Kami berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera sebelum sesuatu perkara buruk berlaku pula kepada penduduk,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN