fbpx

Lelaki Myanmar dalang sindiket bekal pekerja asing tidak sah dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Ridzzuan (berdiri, dua kanan) menyoal siasat tahanan termasuk lelaki yang disyaki dalang pembekalan pekerja asing tidak sah pada sidang akhbar di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Seorang lelaki Myanmar yang disyaki menjadi dalang kegiatan pembekalan pekerja asing tidak sah di kawasan utara sejak pertengahan tahun lalu berjaya ditahan dalam operasi di Sungai Petani, malam tadi.

Warga asing berusia 53 tahun dan memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan bersama 32 warganegara sama termasuk isterinya dan bayi perempuan mereka.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, kesemua 16 lelaki dan 15 perempuan serta bayi terbabit ditahan di tiga premis berbeza di Taman Ria Jaya dan Taman Batik, Sungai Petani dalam operasi bermula pukul 10.25 malam.

“Serbuan di lokasi pertama berjaya menangkap lelaki terbabit yang dipercayai dalang utama sindiket. Turut ditahan adalah lima perempuan dan bayi terbabit yang dipercayai tidak memiliki pas atau permit sah untuk tinggal di negara ini.

“Siasatan lanjut membawa penahanan 26 lagi warga Myanmar termasuk mereka yang tiada langsung dokumen perjalanan serta tinggal lebih masa selain kita merampas 24 pasport Myanmar untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit dipercayai tinggal di negara ini sejak 35 tahun lalu dan fasih berbahasa Melayu serta mengetahui selok-belok negara ini.

Bagaimanapun katanya, tiada elemen penderaan dikesan pada semua warga asing terbabit walaupun pintu jeriji besi premis-premis itu dalam keadaan berkunci dari luar dengan anak kunci hanya dipegang suspek.

“Dia mendakwa bertindak sedemikian bagi mengelak penghuninya keluar dan berkeliaran di kawasan sekitar atau melarikan diri. Dia juga mengaku menyediakan dan menghantar makanan dua kali sehari bagi penghuni premis tersebut. Tinjauan juga mendapati warga asing itu hanya dibekalkan tikar dan tilam nipis sebagai alas untuk tidur.

“Kebiasaannya dalam serbuan seperti ini kita menemui warga tempatan yang menjadi dalang, tetapi kali ini rakyat Myanmar sendiri yang menjadi sindiket merekrut rakan senegaranya,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua tangkapan kini direman selama 14 hari di Depot Imigresen Belantik untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 selain akan menjurus kepada Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Kita juga akan memanggil pemilik premis terlibat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan mana-mana pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki atau tinggal di dalam premis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI