fbpx

JPJ keluar 63,414 kompaun libatkan motosikal dalam 20 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman (kiri) memeriksa lesen salah seorang penunggang motosikal dalam Ops Khas Motosikal JPJ di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 63,414 notis kompaun atas pelbagai kesalahan melibatkan pengguna motosikal sepanjang Ops Khas Motosikal yang dilancarkan di seluruh negara sejak awal bulan ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesalahan paling tinggi dikesan sepanjang operasi itu adalah tiada lesen memandu (CDL) iaitu 20,730 kes atau 32 peratus.

“Selain itu, antara kesalahan lain termasuk lesen kenderaan motor tamat tempoh (13,829 kes), tiada insurans (12,330 kes) serta ubahsuai motosikal (8,404 kes).

“Sebanyak empat penunggang motosikal juga gagal ujian air kencing melibatkan penggunaan dadah jenis syabu dan methamphetamine,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai Ops Khas Motosikal di Jambatan Sultan Mahmud di sini hari ini.

Lokman berkata, sebanyak 8,121 kesalahan-kesalahan lain seperti langgar lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit dan tidak memakai topi keledar juga dikesan sepanjang pelaksanaan operasi tersebut.

Beliau berkata, Ops Khas Motosikal yang dilancarkan bagi membudayakan pematuhan peraturan JPJ dalam kalangan penunggang motosikal berkenaan turut menyita 3,233 buah motosikal.

“JPJ mengesan segelintir penunggang motosikal masih cuai, berlumba dan membuat pusingan U di tempat yang salah.

“Kesalahan-kesalahan tersebut merupakan punca utama kemalangan maut di negara ini selain melawan aliran trafik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI