fbpx
KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Sebagai insan seni, Fazura tidak akan menghalang jika anaknya, Nur Fatima Aisya berminat mahu terjun ke dunia hiburan suatu hari nanti.

Harap jangan muak tengok saya – Fazura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELIHAT anak yang dikandung sembilan bulan, tumbuh sihat dan lincah depan mata tentunya membuatkan perasaan setiap ibu berbunga mekar.

Sama seperti wanita lain, pelakon dan usahawan, Nur Fazura juga memiliki perasaan sama untuk memberikan yang terbaik buat cinta hatinya, Nur Fatima Aisya yang kian tumbuh.

Pada usia empat tahun, Fatima bukan sahaja semakin aktif, malah sudah menunjukkan minat mengikut jejak langkah ibu bapanya dalam bidang seni.

Bagi Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, dia tidak akan menghalang minat dan keinginan anak perempuannya itu mengikut jejak langkahnya bersama suami, Fattah Amin untuk berkecimpung dalam dunia seni.

SELEPAS enam tahun tidak muncul dalam naskhah televisyen, Fazura tampil dengan dua buah drama yang bakal ditayangkan Ramadan nanti.

Hati ibu

Namun, apa yang membuatkan pelakon berusia 41 tahun risau apabila memikirkan cabaran dan dugaan yang perlu dilalui Fatima jika benar-benar menerjuni industri seni hiburan suatu hari nanti.

“Sejujurnya bidang seni ini bukanlah kerjaya mudah dan seindah seperti yang disangka. Saya risau sebenarnya jika Fatima terbabit dalam bidang seni suatu hari nanti.

“Pelbagai onak duri dan cabaran yang perlu dia lalui nanti,” kata Fazura yang kelihatan anggun menggayakan dres berona biru.

Pun begitu, pelakon filem Pisau Cukur itu percaya bahawa Fatima boleh menempuhi cabaran dalam bidang seni, memandangkan si kecil itu disifatkan sebagai seorang anak yang kuat.

“Tapi saya rasa dia boleh berdepan dengan cabaran dalam bidang seni. Kalau saya ‘kak long’ (kuat), dia lagi kak long daripada saya.

“Fatima seorang anak yang kuat. Saya rasa dia boleh berdepan dengan cabaran dalam bidang seni,” ujarnya.

Namun, sebagai seorang ibu, Fazura mengakui, tersimpan sekelumit rasa tidak yakin pada diri sendiri, seandainya Fatima berdepan kecaman netizen selepas terbabit dalam bidang seni.

“Cuma saya takut (pada diri sendiri) tidak boleh berdepan dengan hentaman dan kecaman netizen terhadap Fatima apabila dia terbabit dalam bidang seni nanti.

“Namun terpulang, saya sokong apa sahaja yang dia mahu lakukan. Sekarang pun saya sudah nampak minatnya dalam bidang seni.

“Fatima pun dah mula terbabit dengan iklan. Darah seni memang ada dalam dirinya. Pada masa hadapan, jika dia mahu berlakon sudah tentu saya akan sokong,” tutur Fazura.

Besar impian seorang ibu, Fazura berharap dia dan Fattah terus diberikan kesihatan untuk membimbing puteri kesayangan mereka sehingga dewasa kelak.

FAZURA teruja melancarkan koleksi Fazbulous Raya 2024 yang menampilkan koleksi Tudung FAZURA dengan rekaan corak bunga-bungaan dan geometri yang memukau. – MOHAMAD IQBAL ROSLI dan INSTAGRAM TUDUNG FAZURA

‘Comeback’

Selain teruja melihat tumbesaran anak depan mata, Fazura berkongsi keterujaan bakal membuat kemunculan semula menerusi naskhah televisyen selepas enam tahun ‘berehat’.

Katanya, selepas kali terakhir terbabit dalam drama Hero Seorang Cinderella pada 2017, tahun 2024 bakal menyaksikan semula pembabitannya dalam naskhah berbentuk drama yang akan ditayangkan pada Ramadan nanti.

“Sudah enam tahun saya tidak muncul dalam televisyen selepas kali terakhir menerusi drama Hero Seorang Cinderella, bersama Fattah Amin.

“Memang ramai peminat yang tanya kemunculan semula saya dalam drama. Cuma saya beritahu mereka, saya terpaksa berehat kerana kekangan masa, selain sibuk menguruskan perniagaan.

“Tapi untuk tahun ini, saya bakal tampil dengan dua buah projek drama yang akan ditayangkan pada Ramadan. Harap jangan muak pula tengok muka saya keluar televisyen,” katanya berseloroh.

Tambah selebriti yang turut bergelar penyanyi itu, walaupun sudah lama tidak muncul dalam naskhah drama, dia tidak berdepan rasa kekok untuk bekerja di hadapan kamera.

“Biarpun selepas enam tahun tidak berlakon drama, saya tidak ada rasa kekok. Mungkin sebab saya bekerjasama dengan pengarah yang menyeronokkan seperti Erma Fatimah dan Along Kamaluddin.

“Jadi saya harap, kemunculan semula saya dalam drama televisyen dapat mengubati kerinduan peminat semua,” ujarnya.

PADA usia empat tahun, Nur Fatima Aisya sudah mula menunjukkan bakat dan minat dalam bidang seni mengikut jejak ibu bapanya.

Fazbulous Raya 2024

Dalam perkembangan lain, Fazura turut bersyukur apabila melancarkan koleksi Aidilfitri, Fazbulous Raya 2024 yang sentiasa dinantikan peminat jenamanya, Tudung FAZURA.

Ujarnya, koleksi kali ini mengetengahkan tiga varian tudung iaitu Citra Zahraa, Kesuma Warna dan Rona Peterana yang diinspirasikan daripada corak bunga-bungaan dan geometri.

“Saya sangat bersyukur kerana diberikan rezeki untuk mengeluarkan koleksi fesyen Fazbulous Raya.

“Koleksi Tudung FAZURA kali ini antara lainnya mengetengahkan tiga variasi iaitu Citra Zahraa dan Kesuma Warna dengan inspirasi bunga-bungaan.

“Manakala Rona Peterana pula di datangkan dengan corak abstrak dan geometri moden. Kesemua 30 corak-corak menarik ini akan datang menemui peminat Tudung FAZURA,” katanya.

FAZURA dan suami, Fattah Amin tidak akan menghalang seandainya anak mereka, Fatima mahu menceburi bidang seni suatu hari nanti.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN