fbpx

Ekonomi digital wujudkan 500,000 pekerjaan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gobind (tengah) melakukan gimik perasmian Majlis Penutupan eUsahawan & Gig Fest 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan sektor ekonomi digital di negara ini dilihat mampu mewujudkan sehingga 500,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2025, seterusnya membuka lebih peluang kepada bakat digital tempatan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, ini selaras dengan sasaran peningkatan sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 25.5 peratus menjelang 2025, berbanding 23.3 peratus ketika ini.

“Ekonomi digital negara kita mempunyai potensi yang besar untuk melonjakkan kedudukan Malaysia di persada dunia.

“Saya percaya, pembangunan digital tidak hanya membuka pintu peluang, tetapi juga memberikan kebebasan kepada setiap lapisan rakyat untuk melibatkan diri secara aktif dalam landskap ekonomi yang semakin berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Karnival eUsahawan dan Gig Fest anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Gobind berkata, penganjuran karnival yang julung kali diadakan itu menawarkan pelbagai manfaat melalui penyediaan program-program untuk peserta menjalin kerjasama dan berkongsi pengetahuan.

Jelasnya, bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara dalam sektor keusahawanan dan gig, MDEC melaksanakan porogram berimpak tinggi, antaranya eUsahawan yang dilaksanakan secara fizikal dan online untuk melatih individu, pelajar dan usahawan mikro dalam keusahawanan digital untuk menjana pendapatan, mempromosi produk serta meningkatkan jualan.

“Sejak program ini dilaksanakan pada tahun 2015, MDEC telah berjaya melatih seramai 563,543 usahawan di seluruh negara dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion.

“Untuk sasaran program eUsahawan pada tahun ini, MDEC akan melatih seramai 30,000 usahawan-usahawan mikro dan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi atau program latihan teknikal dan vokasional (TVET) dengan sasaran jualan berjumlah RM35 juta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI