fbpx

10 tahun Pierre Andre tak ‘pegang’ telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PIERRE ANDRE mengakui hanya meminjam telefon milik isteri jika mahu mengakses internet untuk mengetahui isu semasa.

PETALING JAYA – Pelakon Pierre Andre mendedahkan sudah 10 tahun tidak menggunakan telefon bimbit atas atas alasan mahu bebas daripada tekanan hidup.

Pierre atau nama lengkapnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre, 39, berkata semua urusan termasuk berkaitan kerjaya boleh berhubung terus dengan isterinya, Siti Nur Hidayah Hashim.

“Saya tiada telefon bimbit mahupun media sosial sejak 10 tahun lalu. Kalau orang nak cari saya, boleh hubungi melalui isteri.

“Saya rasa bebas tanpa telefon bimbit. Berbeza masa saya aktif dahulu, telefon memang bagi saya tekanan.

“Telefon yang ada sefungsinya hanya untuk merakam video kandungan YouTube, bukan alat berkomunikasi dengan orang lain,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Pierre yang turut bergelar pengarah itu ditemui pada majlis doa selamat filem Jangan Pandang Belakang 2 turut mengakui meminjam telefon isteri andai mahu mengikuti perkembangan semasa.

“Pernah satu zaman saya menggunakan telefon awam sebab itu susah untuk hubungi saya sebab kena melalui isteri. Tak ramai orang tahu nombor telefon dia selain nombor perniagaan.

“Sekiranya saya mahu melihat media sosial, saya akan pinjam telefon isteri dan belek sepintas lalu sahaja untuk mengetahui perkembangan isu semasa,” jelasnya.

Ditanya mengenai pelakon filem Gol & Gincu itu memilih untuk enggan berdunia dengan dunia luar, dia hanya mahu beri laluan kepada generasi muda selain mahu menumpukan perhatian sepenuhnya buat anak-anak.

“Bukan saya tidak mahu berhubung dunia luar tetapi mahu beri peluang kepada budak baru.

“Saya pula jenis ‘family man’ (sering habiskan masa dengan keluarga). Sekarang tinggal anak beberapa jam, saya mula merindu mereka,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Pierre pernah menyepi dalam dunia seni lakonan dan pengarahan sejak sedekad yang lalu sehingga mencetuskan tanda tanya ramai.

Bagaimanapun, dia kini kembali mengarahkan filem sekuel seram berjudul Jangan Pandang Belakang 2 “Aku Tahu Asal Usulmu”.

Antara pelakon filem ini ialah Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek dan Cat Farish. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI