fbpx

UIAM Kampus Kuantan perkasa amalan kitar semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UITM Kampus Kuantan berjaya mengumpul 100 tan sampah untuk dikitar semula sepanjang tahun lalu.

KITAR semula merupakan satu amalan yang wajar diterapkan kepada segenap lapisan masyarakat kerana ia dapat membantu melestarikan alam sekitar.

Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan dalam membudayakan amalan tersebut untuk komuniti setempat.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan di Pahang antara institusi yang berbuat demikian dengan menubuhkan jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Alam Sekitar (IKC EMPC) sejak 2018.

Pengerusi IKC EPMC, Dr. Noor Artika Hassan berkata, sejak penubuhan IKC EPMC, segala aktiviti berkaitan kitar semula telah dijalankan dengan lebih sistematik di UIAM Kampus Kuantan.

Menurutnya, jumlah kutipan barangan kitar semula adalah sebanyak 10 sehingga 18 tan secara konsisten setiap tahun.

“Ia merangkumi sampah kitar semula termasuk kertas, plastik, kotak, aluminium, besi, minyak masak terpakai, dan e-waste.

“Kutipan bulanan dijalankan di semua kulliyyah (fakulti), mahallah (asrama) dan Hospital SASMEC @IIUM dengan kerjasama SWCorp Kuantan dan Alam Flora Sdn. Bhd.,” katanya.

Tambahnya, bermula 2022, pihaknya juga menganjurkan Hari Kitar Semula peringkat daerah Kuantan dan ia mendapat sambutan sangat menggalakkan.

MINYAK terpakai yang berjaya dikitar semula menjadi sabun.

Hari Kitar Semula 2.0 pada tahun lalu, UIAM Kampus Kuantan telah menyelamatkan sebanyak 80 tan sampah kitar semula daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Noor Artika menjelaskan, kejayaan itu adalah hasil kerjasama para pelajar, kakitangan serta gabungan 18 agensi luar termasuk agensi kerajaan, swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Untuk tahun 2023, secara keseluruhan hampir 100 tan sampah telah dikumpul dan dikitar semula oleh warga UIAM dan penduduk Kuantan.

“Malah, kami mengumpul hampir 67,000 kilogram (kg) pelbagai jenis tekstil, 24,941kg bahan kitar semula seperti kertas, plastik, besi, aluminium, kotak, dan e-waste serta 7,150kg minyak masak terpakai.

“Sebahagian minyak masak terpakai ini telah dijadikan sabun buku dan cecair pencuci untuk digunakan sebagai cenderamata di dalam universiti serta delegasi antarabangsa,” jelasnya.

Selain itu, IKC EPMC aktif mengajar komuniti di Pahang cara untuk membuat sabun cuci tangan dan pencuci pinggan mangkuk menggunakan minyak masak terpakai.

Pada tahun ini, ia akan mula digunakan di tandas di dalam kampus untuk menggantikan sabun pencuci tangan sedia ada.

Mengulas lanjut, Noor Artika berkata, pengurusan sampah yang sistematik dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar dan mengelakkan penyakit bawaan vektor dan zoonotik seperti denggi dan kencing tikus.

Menurutnya, pengurangan sampah juga membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di tapak pelupusan sampah.

“Sepanjang 2018-2023, UIAM Kampus Kuantan telah mengitar semula lebih 160 tan metrik sampah, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 1,860 tan metrik.

“Inisiatif pihak IKC EPMC ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan mengharumkan nama negara dengan memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.

“Misalnya, International Green Gown Award untuk kategori memberi manfaat kepada komuniti dan projek unggul melalui Regional Centre of Excellence 2023,” ulasnya.

Pada masa hadapan, IKC EPMC akan terus berusaha mendidik dan memperkasakan orang awam untuk mengamalkan gaya hidup hijau ke arah menjadi komuniti bebas sampah.

Ia juga menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi kategori Kesihatan dan Kesejahteraan, Bandar dan Masyarakat Mampan serta Kerjasama demi Matlamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN