fbpx

Na’imah fail permohonan semak penahanan pasport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Na'imah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 Mac bagi mendengar permohonan isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang menahan pasportnya selepas didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.

Isteri Tun Daim Zainuddin itu memfailkan permohonan semakan Jumaat lalu dalam usaha mendapat perintah mahkamah agar pasportnya dipulangkan secara kekal.

Hakim Datuk Ahmad Bache memerintahkan pihak pemohon dan responden memfailkan hujahan masing-masing sebelum 4 Mac ini manakala hujahan balas difailkan sebelum atau pada 11 Mac.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fadhly Mohd. Zamry mengesahkan permohonan itu diterima hari ini manakala peguam M. Puravalen memaklumkan ia difailkan Jumaat lalu.

Na’imah, 67, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) agar Mahkamah Tinggi menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang membenarkan pasportnya ditahan ekoran kes berkenaan.

Dalam permohonan tersebut, Na’imah mendakwa, pihak pendakwaan tidak mengemukakan alasan yang spesifik atau kukuh ketika memohon pasport beliau ditahan.

Pihak pembelaan turut menyatakan, pendakwaan tidak mengetengahkan bukti khusus atau berdokumen yang menunjukkan beliau cenderung untuk melarikan diri atau tidak hadir prosiding mahkamah.

“Oleh yang demikian, perintah Mahkamah Sesyen bagi penahanan pasport adalah salah di sisi undang-undang dan menyebabkan perlanggaran prinsip keadilan yang serius terhadap anak guam kami dan wajar disemak.

“Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila membuat perintah penahanan pasport. Hak terhadap pasport adalah berperlembagaan berdasarkan Perkara 5(1) dan Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan,” ujar pihak pembelaan.

Dalam permohonan itu, Na’imah membangkitkan tiga persoalan bagi mencabar perintah penahanan pasport atas alasan tiada bukti dikemukakan pihak pendakwaan berhubung risiko melarikan diri.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal mematuhi agar mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Disember tahun lalu.

Harta-harta itu melibatkan dua buah syarikat, Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd. serta dua kenderaan mewah Mercedez Benz.

Selain itu, lapan hartanah didakwa turut gagal diisytiharkan iaitu Menara Ilham di Jalan Binjai di sini, kediaman di Pesiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr. Ismail.

Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan pernyataan bertulis secara bersumpah bertarikh 8 November 2023 tanpa mematuhi terma notis yang dinyatakan di bawah Seksyen 36(1)(b) akta itu.

Menurut pertuduhan, notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 manakala kesalahan didakwa dilakukan pada 13 Disember 2023 di Ibu Pejabat SPRM di Presint 7, Putrajaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI