fbpx
KIPTUM terkorban dalam kemalangan jalan raya Ahad minggu lalu iaitu kira-kira lima bulan setelah memecahkan rekod dunia maraton Oktober lalu.

Kiptum idola pelari maraton seluruh dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGGAL 8 Oktober 2023, menjadi detik indah buat Kelvin Kiptum apabila dia berjaya memecahkan rekod dunia maraton (larian 42 kilometer) di Chicago, Amerika Syarikat.

Dia yang berasal dari Kenya melepasi garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 35 saat, sekali gus mengatasi rekod dunia milik rakan senegaranya, Eliud Kipchoge dengan 34 saat lebih pantas.

“Saya tahu akan memecahkan rekod untuk kejohanan ini, tetapi rekod dunia amat menggembirakan saya.

“Rekod dunia bukan sasaran saya hari ini, tetapi saya tahu suatu hari nanti saya akan melakukannya,” katanya yang lahir pada tanggal 2 Disember 1999.

Dia mencipta rekod dunia itu pada larian maraton ketiga yang disertai dalam kariernya selepas Maraton London 2023 pada April dan Maraton Valencia 2022.

Namun kini, rekod yang dilakukan oleh pemuda berusia 24 tahun itu menjadi salah satu peninggalannya kepada dunia larian maraton.

Malah, Kiptum sendiri tidak boleh memecahkan rekod yang dibuatnya selepas ini.

Ini kerana, Kiptum yang menjadi idola dalam larian jarak jauh dan pencabar utama emas di Sukan Olimpik Paris telah maut selepas terlibat dalam satu kemalangan kereta di Kenya pada 11 Februari lalu.

Kemalangan itu juga telah menyebabkan jurulatihnya, Gervais Hakizimana turut terkorban.

Nahas itu berlaku selepas kereta yang dipandu Kiptum dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok.

Pemergian tragis tersebut mendapat perhatian Presiden Olahraga Dunia, Sebastian Coe yang turut memberi penghormatan kepada atlet berbakat besar itu.

“Kami benar-benar terkejut dengan berita ini dan amat sedih apabila mengetahui kehilangan Kiptum serta Hakizimana.

“Kiptum seorang atlet yang luar biasa dan dia meninggalkan warisan yang luar biasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kiptum sememangnya ditakdirkan untuk menjadi ‘bintang’ bagi acara larian maraton.

Ketika terlibat dalam cara larian itu, dia mula berlatih berhampiran kampung halamannya di Chepkorio, Kenya.

Beginilah rupa kenderaan yang dinaiki Kiptum dan Hakizimana selepas terlibat dalam satu kemalangan
di Kenya pada 11 Februari lalu

Pada mulanya, dia bersendirian sebelum dilatih oleh Hakizimana.

Hubungan Hakizimana dengan Kiptum bermula pada 2018.

Sebenarnya, mereka telah bertemu ketika pemegang rekod dunia itu jauh lebih muda.

“Saya mengenalnya semasa dia masih kecil, mengembala ternakan tanpa menyarung kasut.

“Pada 2009, saya berlatih berhampiran ladang bapanya dan di situ saya mengenalinya,” kata Hakizimana kepada agensi berita AFP pada Oktober lalu.

Apabila pandemik Covid-19 melanda dunia, Hakizimana dan Kiptum terus sibuk dengan rutin yang ketat.

Malah, jurulatihnya itu tinggal bersama Kiptum selama setahun untuk melatihnya.

“Kami berlatih di dalam hutan dan saya akan berlari bersamanya.

“Dia kemudian mula menyertai maraton pada 2021,” ujar Hakizimana.

Kiptum berlatih secara obsesif sehingga jurulatihnya mula takut kerana itu boleh memendekkan kerjayanya.

Malah, semasa melakukan persiapan untuk Maraton London, Hakizimana mendedahkan bahawa Kiptum telah menghabiskan masa berlari lebih daripada 300 kilometer seminggu.

“Tiada rehat mingguan. Kita rehat apabila dia penat.

“Jika dia tidak menunjukkan tanda-tanda keletihan atau kesakitan selama sebulan, kita akan teruskan.

“Apa yang dia lakukan hanyalah berlari, makan dan tidur,” katanya.

Kiptum berjaya mencatatkan masa
2 jam 35 saat semasa Maraton Chicago
di Amerika Syarikat pada tahun lalu.

Sementara itu, menceritakan tentang Kiptum, bapanya, Samson Cheruiyot menyifatkan anaknya sebagai seorang yang taat dan rajin.

Menurutnya, kali terakhir dia bercakap dengan anaknya adalah petang Sabtu sebelum Kiptum pergi berlatih di Fluospar.

“Anak saya adalah milik dunia dan dia telah diambil daripada saya dengan cara yang menyakitkan.

“Sejak kecil, dia bekerja keras dan mengikut jejak ibunya yang juga merupakan seorang atlet.

“Saya menjangkakan anak saya akan menaikkan status kami.

“Namun, dia telah pergi terlebih dahulu daripada saya,” katanya dengan penuh emosi di rumahnya di Chepkorio.

Cheruiyot juga memberitahu bahawa anaknya sedang dalam proses membina sebuah rumah untuk mereka sekeluarga.

Selain membincangkan isu tentang rumah, Kiptum juga memberitahu bapanya, dia berasa hebat serta mampu berlari kurang dari dua jam apabila tiba masa yang sesuai.

Cheruiyot memaklumkan, apabila tamat sekolah rendah, Kiptum memutuskan untuk menyambung pengajian di Politeknik Chepkorio dan mengikuti kursus pendawaian sebelum menamatkan pengajian dengan Gred III.

“Selepas itu, dia memilih untuk menceburi bidang larian dan bukannya menaik taraf pendidikannya.

“Dia berkeras untuk berlatih dan kami tidak mempunyai wang yang cukup. Namun, saya berjaya menyewakan rumah untuknya di Chepkorio.

“Dia berhadapan dengan kesukaran sebelum dapat bermula dengan baik,” terangnya.

Malah, Kiptum sedang bersiap sedia untuk bertanding di Maraton Rotterdam, Belanda dengan menyasarkan untuk berlari di bawah dua jam sebelum dia pergi buat selamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN