PETALING JAYA – “Jika lampu isyarat bertukar hijau, maka jatuh talak. Jika balik raya ke kampung isteri, jatuh talak. Jika undi parti sekian-sekian, jatuh talak.”
Kedengaran remeh dan lucu, namun itulah antara lafaz pernah disebutkan oleh para suami terhadap isteri yang tidak berdosa sehingga menyebabkan berlaku keruntuhan rumah tangga.
Kisah itu diceritakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang yang mana ia merupakan antara 120 kes penceraian diterimanya dalam tempoh setahun sejak 2022 berpunca daripada taklik tambahan.
Taklik tambahan adalah sebutan lisan yang dipersetujui bersama berdasarkan pandangan, kehendak atau permintaan pasangan suami isteri dan persetujuan tersebut direkodkan sebagai bukti kewujudannya.
Kebiasaannya, isteri akan menggunakan taklik tambahan untuk melindungi hak daripada terus teraniaya, namun terdapat kes suami sesuka hati menyebut lafaz itu dengan niat untuk mengekang atau mengugut isteri daripada melakukan perkara tidak disukai.

Musa berkata, talak adalah hukum syarak yang tidak boleh dipermainkan kerana ia boleh mengakibatkan berlaku perceraian.
“Sekiranya suami menggunakan lafaz kinayah atau tersirat sekalipun ketika melafazkan, jika suami memang berniat atau bertujuan mentalakkan isterinya maka taklik tersebut mungkin akan menjatuhkan talak.
“Pasangan ini perlu membuat permohonan pengesahan cerai di mahkamah syariah serta mengesahkan berlakunya rujuk. Walaupun tempohnya sudah lama, ia perlu disahkan bagi mengetahui jumlah talak dan baki talak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Tambah Musa, kebiasaan kes, pasangan membuat taklik tambahan secara lisan tanpa merujuk kepada mana-mana peguam syarie dan tiada dokumentasi direkodkan sebagai bukti.
“Suami biasanya dengan kehendak, kebijaksanaan sendiri atau nafsu amarah akan membuat taklik tambahan tanpa merujuk terlebih dahulu kepada mana-mana pihak. Setelah taklik dibuat dan timbul masalah, baru mereka akan merujuk ke jabatan agama, mahkamah syariah atau peguam syarie.
“Lebih malang ada pasangan membuat hukum sendiri dengan mendiamkan diri tentang pelanggaran lafaz taklik itu atau hanya mendapatkan nasihat daripada orang tidak bertauliah.
“Ada antara mereka masih hidup bersama sebagai suami isteri tanpa rujuk, sedangkan status pernikahan mereka mungkin sudah terbubar. Lebih-lebih malang lagi sekiranya lahir pula anak hasil perhubungan kelamin dalam tempoh lafaz taklik cerai yang tidak disahkan oleh mahkamah syariah,” katanya.

Sementara itu, Peguam Syarie Nurul Atikah Abd. Rashid berkata, setiap bulan sekurang-kurangnya lima wanita datang ke firma guamannya di Puchong, Selangor untuk meminta nasihat berkaitan taklik tambahan.
Menurutnya, kebanyakan isteri yang hadir bukan sahaja bingung, malah buntu perkara yang perlu dilakukan kerana bimbang status perkahwinan sudah terbatal kerana pelanggaran taklik tambahan yang dilafazkan.
Ujarnya, terdapat kes seorang isteri mendakwa suaminya pernah lafaz taklik tujuh bulan selepas perkahwinan mereka iaitu ‘kalau saya curang, ada nafsu pada mana-mana perempuan, ada perasaan suka, cubaan menggoda atau apa-apa berkaitan perempuan lepas ini, kita jatuh talak tiga’.
“Isteri baru tahu suaminya pernah melanggar taklik tanpa pengetahuannya. Sekiranya suami mengaku melafazkan taklik dan melanggar syaratnya, dari tarikh pelanggaran syarat itu, mereka bukan lagi suami isteri.
“Talak tiga juga tidak boleh dirujuk semula. Jadi nikah mereka perlu difarakkan dan perlu buat pengesahan nasab anak tersebut,” katanya.
Kata Nurul Atikah, salah satu masalah diluahkan kepadanya juga dianggap tidak masuk akal kerana setiap kali bergaduh, si suami akan melafazkan taklik hingga pasangan itu tidak tahu berapa jumlah talak yang jatuh. -KOSMO! ONLINE














