fbpx

Anwar minta MAIWP kemuka cadangan tingkat prestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada Majlis Perasmian Karnival MAIWP Tahun 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri meminta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengemukakan cadangan baharu bagi meningkatkan lagi prestasi institusi berkenaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bagi memastikan MAIWP dapat menyediakan pengurusan dan tatakelola yang baik serta menghentikan apa-apa sahaja perbelanjaan yang tidak perlu.

Anwar berkata, tempoh sebulan diberikan kepada seluruh kegiatan MAIWP termasuk pengurusan zakat untuk penyediaan laporan terperinci apa yang dilakukan setahun sebelumnya dan langkah-langkah baharu yang boleh meningkatkan lagi prestasi MAIWP.

“Kerja Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi bukan sekadar meneruskan kegiatan-kegiatan, pastikan setiap dana dan sen wang rakyat itu kembali kepada rakyat dan tidak boleh diperalatkan untuk kesenangan peribadi.

“Saya tegas hal ini terutama di MAIWP kerana saya mahu MAIWP itu menjadi mercu tanda kebanggaan umat dengan tatakelola terbaik, semangat roh perjuangan yang bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Karnival MAIWP Tahun 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam pada itu, Anwar mencadangkan agar Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-undang Islam melibatkan negeri, ulama-ulama dan ahli akademik bagi memperkasakan lagi Mahkamah Syariah.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Khamis lalu.

“Saya mahu jawatankuasa ini berbincang dengan negeri, ulama dan mufti, dan mendengar pendapat ahli akademik. Sepatutnya mereka mendengar sesiapa sahaja yang mahu memberi pandangan, sebelum memberikan cadangan mereka.

“Kemudian kita akan meneliti lebih lanjut dari segi perlembagaan, di Jabatan Peguam Negara (AGC), Majlis Raja-raja dan kembali kepada Kabinet dan seterusnya Parlimen,” ujarnya.

Katanya, Ahli Parlimen mesti bersetuju dengan majoriti dua pertiga untuk membenarkan sebarang pindaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI