PERNAH mengalami masalah berat badan naik mendadak selepas melahirkan anak sulung menjadi titik tolak kepada kejayaan wanita berasal dari Pasir Tumboh, Kelantan ini.
Bukan sekadar berdepan masalah berat berlebihan, dia turut menjadi bualan dan ‘modal’ percakapan orang sekeliling kerana fizikal badannya ketika itu.
Penat dan rimas dengan kata-kata nista manusia sekeliling, dia nekad menutup semua episod ‘hitam’ tersebut dengan menurunkan semula berat badan.
Menurut Noor Faqirah Abdullah atau mesra disapa Qayra, semuanya berlaku sekitar enam tahun lalu iaitu sekitar 2018.
Katanya, tanpa berfikir panjang, dia yang memang minat dan tidak malu berniaga sejak kecil memberanikan diri untuk menghasilkan produk sendiri berasaskan herba.
Secara kebetulan, bapanya juga mempunyai perniagaan berasaskan herba dan itu juga menjadi titik tolak kepada Qayra untuk menjadikan dirinya sendiri sebagai testimoni.
Katanya, berbekalkan duit raya anak sulung sebanyak RM1,500 ketika itu, dia menggunakan kesemuanya sebagai modal permulaan untuk produk sulung keluarannya, Herba Kurus Tradisi (HKT).
“Memang sedih, saya masih ingat, dengan bermodalkan duit raya anak yang patut disimpan dan digunakan ketika kecemasan serta sedikit duit simpanan sendiri, saya tekad keluarkan produk pertama keluaran sendiri.
“Saya cuba, saya makan sendiri dan akhirnya jual produk tersebut selepas berjaya turunkan berat badan sebanyak 15 kilogram (kg) daripada berat asal 90kg dalam masa hanya beberapa bulan,” katanya memulakan bicara.

di Malaysia.
Ujar Qayra, 29, sejak dari itu, ramai kenalan terdekat termasuk mereka yang pernah berkata nista melihat sendiri perubahan yang berlaku kepada dirinya.
“Ramai juga kawan mula perasan dan bertanya apa produk yang saya makan dan amalkan hingga dapat bentuk badan ideal sebegitu,” kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Qayra Beauty itu.
Mengimbas cemuhan yang pernah diungkapkan orang kepadanya, Qayra berkata, macam-macam mulut jahat didengarinya.
“Perkara yang paling membuatkan saya tekad nak berubah apabila ada mulut-mulut jahat yang mengatakan saya hanya goyang kaki duduk di rumah.
“Mereka juga kata, saya hanya habiskan beras dan tahu makan sahaja selain hanya mengharapkan duit suami tanpa berbuat apa-apa,” ujarnya.
Jelas Qayra, perlian itu betul-betul membuatkannya berasa ‘down’ sebelum dirinya berazam untuk membuktikan segala tohmahan itu sama sekali tidak benar.
Berkongsi lanjut, Qayra bersyukur dari sehari ke sehari bisnes herba kecil-kecilannya mula mendapat perhatian ramai dan mula merubah kehidupannya.
Daripada hanya bergelar seorang suri rumah yang berbadan besar dan tidak mempunyai apa-apa pendapatan, Qayra bersyukur dia kini dapat membantu ramai orang selepas bergelar usahawan.
Lebih manis, apabila bisnesnya turut mendapat pengiktirafan Top 500 Trusty Brand Award 2022 yang dianjurkan Majlis Tindakan Pengguna Negara.
Bercerita mengenai cabaran dan asam garam dalam bisnes, ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui, pasti ada rintangan dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan terutama perniagaan.
“Jatuh bangun dalam bisnes adalah perkara yang pasti akan berlaku untuk mana-mana peniaga atau usahawan.
“Jadi, tipulah kalau saya kata tak pernah laluinya selama 6 tahun saya berbisnes. Daripada satu produk dan kini dah ada 11 barisan produk atas izin Allah.
“Cakap mengenai cabaran, saya sendiri pernah ditipu pembekal sehingga RM50,000. Masa itu, produk tengah mendapat nama dan kebetulan dalam musim pandemik.
“Jadi kilang kekurangan bahan mentah untuk proses stok dan saya terpaksa dapatkan daripada pembekal lain yang tidak begitu dikenali dan akhirnya ditipu puluhan ribu ringgit tanpa stok diterima,” katanya.
Tidak setakat itu, kongsi Qayra, dia juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa apabila banyak produk tiruan persis produknya di pasaran.
“Seperti mana produk lain yang popular di pasaran, produk saya juga tidak terkecuali dibuat tiruan. Mereka keluarkan produk dengan logo, jenama dan rekaan yang betul-betul sama dengan produk keluaran Qayra Beauty.
“Hal itu menyebabkan ramai pelanggan terutama pelanggan baharu tertipu dan mendapat produk tiruan pada harga jauh lebih rendah sekali gus menyebabkan pihak syarikat mengalami kerugian,” ujarnya.

Pun begitu, Qayra tidak mudah melatah apatah lagi berputus asa selain yakin dengan aturan Allah yang telah disusun rapi buatnya.
Ditanya mengenai siapa sumber inspirasi, Noor Faqirah memberitahu, bapanya Abdullah Isa merupakan orang penting yang secara tidak langsung memperkenalkan formula herba bagi produknya.
Katanya, bapanya menjadi tonggak utama di sebalik kejayaannya memahat nama sebagai usahawan serta pengeluar produk suplemen pelangsingan berasaskan herba terkenal negara.
Bercakap mengenai perancangan, dia berkata, syarikat optimis untuk menambah bilangan ejen sedia ada daripada 6,000 kepada 11,000 orang pada tahun ini.
Menurutnya, jualan produknya pada 2020 adalah sebanyak RM500,000 dan meningkat kepada RM17.2 juta pada 2021 serta RM22 juta tahun lalu.
Pada masa sama, jenama produknya berjaya melahirkan lima jutawan yang berjaya membuat jualan lebih RM1 juta.
“Pada tahun ini, saya jangka jualan meningkat kepada RM30 juta dan dapat membantu lebih ramai lagi peniaga terutama wanita untuk jana pendapatan.
“Saya menyasarkan akan melahirkan 11,000 ejen di seluruh negara dan kini sudah mempunyai 6,000 ejen,” katanya.
Paling bermakna, setelah enam tahun berhempas pulas mengusahakan perniagaan, dia kini mampu tersenyum atas majlis perasmian Wisma Qayra Beauty bernilai RM1 juta di Wakaf Che Yeh selepas menyewa di premis sama.
“Kalau sebelum ini bertahun-tahun saya menyewa dan belum mampu untuk membeli kedai atau premis sendiri.
“Alhamdulillah berkat perniagaan herba ini, kini saya dah ada wisma sendiri hasil titik peluh selama ini.
“Ini juga satu kebanggaan buat semua ejen yang selama ini bersusah payah dan tidak pernah putus asa dalam memajukan diri sendiri dan bisnes,” katanya yang juga sedang mengintai pasaran Thailand, Indonesia serta Singapura.














