fbpx

Ekonomi Malaysia berkembang 3.7 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bank Negara Malaysia

PETALING JAYA – Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2023 kembali menyederhana kepada 3.7 peratus selepas merekodkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022, di tengah-tengah persekitaran luaran yang mencabar.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, prestasi tersebut disebabkan terutamanya oleh perdagangan global yang lebih perlahan, kitaran menurun teknologi global, ketegangan geopolitik dan dasar monetari lebih ketat.

“Pada peringkat domestik, walaupun sokongan dasar telah luput apabila ekonomi mula dibuka pada 2022, pemulihan selanjutnya dalam aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran buruh terus menyokong pertumbuhan dalam 2023.

“Selain itu, prestasi pertumbuhan ekonomi diperkukuh oleh kedudukan luaran yang berdaya tahan, dengan lebihan akaun semasa bagi tahun 2023 dikekalkan pada 1.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), disokong oleh struktur eksport yang pelbagai merentasi pasaran dan produk,” katanya.

BNM menambah, kekuatan dalam kedudukan luaran turut dicerminkan dalam hutang luar negeri, yang merosot kepada 68.2 peratus daripada KDNK pada 2023 (suku tahun ketiga, S3 2023: 69 peratus) dan kedudukan pelaburan antarabangsa bersih yang lebih tinggi pada 6.6 peratus daripada KDNK (S3 2023: 5.2 peratus).

“Yang penting, hutang luar negeri kekal terurus memandangkan profil tempoh matang dan mata wang yang menggalakkan.

“Satu pertiga daripada hutang luar negeri adalah dalam denominasi ringgit yang mengehadkan risiko mata wang, manakala sekitar 70 peratus daripada hutang mempunyai tempoh jangka sederhana dan lebih panjang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI