PETALING JAYA – Pakar penerbangan tidak menolak kemungkinan kegagalan pada bahagian sayap menjadi punca utama sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Tok Muda, Kapar, Klang kelmarin.
Menurut Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology, Profesor Madya Mejar Dr. Mohd Harridon Mohamed Suffian, teori itu berdasarkan pemerhatian ke atas video tular yang menunjukkan sayap itu patah sebelum terpisah daripada badan pesawat.
Mohd Harridon berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana pesawat ringan model BK 160 Gabriel tersebut mempunyai ketahanan yang tinggi.
katanya, pesawat itu boleh bertahan pada tekanan empat daya G (G force) positif dan negatif dua daya G.
“Saksi memaklumkan sayap pesawat patah dan mengalami kegagalan. Jadi, siasatan perlu dibuat bagaimana ia terlerai sedangkan pesawat berkenaan boleh melakukan gerakan akrobatik.
“Oleh itu, pakar akan melihat log pesawat tersebut sekiranya ada sebarang pembaikian pada sayap yang dilakukan baru-baru ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambah Mohd Harridon, sekiranya pesawat ringan itu tidak dilengkapi dengan kotak hitam, siasatan masih boleh dilakukan berlandaskan kepada beberapa perkara.
Beliau berkata, ini kerana, pesawat ringan tidak diwajibkan memasang kotak hitam, namun pemilik boleh melakukan inisiatif lain yang dirasakan perlu mengikut keperluan.
“Kita boleh melihat log teknikal pesawat berapa kerap ia diselenggara? Adakah pesawat itu melakukan gerakan akrobatik?
“Kedua, pakar akan mengumpul serpihan dan mencantum semula untuk melakukan sisatan lanjut. Kumpul data mengenai kemalangan tersebut,” ujarnya.
Mohd Harridon berkata, pakar juga boleh merujuk pada radar penerbangan untuk membuat analisis tertentu mengenai pergerakan dan altitud pesawat sebelum ia terhempas.
“Daripada segala data yang diperoleh ini, pakar akan kumpulkan dan membuat kesimpulan mengenai punca nahas.
“Selain itu, pihak berkuasa juga boleh mengambil keterangan saksi untuk membuat deduksi tertentu,” ulasnya.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat ringan yang terhempas tersebut melibatkan dua mangsa iaitu jurterbang dan pembantu jurterbang.
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 1.28 bagi penerbangan rekreasi.
Hubungan terakhir pesawat tersebut dengan pegawai kawalan trafik udara adalah pada pukul 1.35 tengah hari kira-kira tujuh minit selepas berlepas.














