fbpx

Pemandu lori tidak mengaku pandu bahaya akibatkan tiga tentera maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Huzaifah dituduh memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian tiga tentera di Mahkamah Majistret Gurun, hari ini. Foto SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

GURUN – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan tiga tentera maut dalam kejadian di Kilometer 77.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, awal bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Huzaifah Azhari, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Anis Suraya Ahmad.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian Lans Koperal Mohd. Hafiz Haris, 30; Sarjan Rozali Abdul Rani, 39, dan Koperal Mohd. Asri Idris, 40.

Kemalangan berlaku di KM 77.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dalam daerah Kuala Muda kira-kira pukul 10.30 pagi, 2 Februari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Azmi mencadangkan agar tertuduh diberi jaminan sebanyak RM30,000, namun peguam, Ummi Kalthum Zakaria memohon jaminan paling rendah kerana tertuduh menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil.

Anis Suraya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 6 Mac depan.

Pada 3 Februari lalu, akhbar ini melaporkan tiga anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan tiga trak pasukan keselamatan itu dengan sebuah lori di KM 77.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Gurun.

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa yang merupakan anggota dari Batalion ke-3 Rejimen Sempadan (3RS) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Mereka sepatutnya mengambil anggota yang menjalani Eksesais Command Post Exercise (CPX) Satria Gagah 30 Briged di Bukit Cowder, Kangar, Perlis, namun salah sebuah kenderaan konvoi mengalami kerosakan yang menyebabkan mereka terpaksa berhenti di sebelah kiri lebuh raya sebelum dirempuh lori. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI