fbpx

Cari mekanisme bantu rakyat susah hadapi kenaikan harga beras – Cake

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Yusrizal (kanan) meninjau sebuah kedai runcit di Pasar Besar Alor Setar di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang dikhuatiri terjejas dengan kenaikan harga beras tempatan kepada RM30 bagi setiap 10 kilogram (kg) bermula 1 Mac depan.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya tidak menafikan kenaikan harga siling tersebut dijangkakan membebankan pengguna dalam kalangan tersebut.

“Kenaikan RM30 ini agak mahal memandangkan pendapatan seisi rumah masing-masing dan juga gaji minimum kita tidak meningkat. Selain itu, kita masih lagi terkesan dengan Covid-19 ini, jadi ini (kenaikan harga beras tempatan) amat menekan pengguna.

“Jadi kita nak tengok juga mekanisme apa yang kerajaan akan lakukan untuk membantu pengguna ekoran kenaikan harga makanan ruji rakyat ini. Jadi kita harap supaya ada juga cadangan untuk kita tingkatkan pendapatan rakyat, tingkatkan gaji minimum,” katanya pada sidang akhbar di Pasar Besar Alor Setar, di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang pengumuman Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) semalam berkaitan kategori tunggal bagi beras putih iaitu Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan beras putih tempatan dan import di pasaran.

Serentak itu, harga siling tunggal beras tersebut ditetapkan pada RM30 bagi setiap 10 kg, RM15.50 (5 kg) dan RM3.50 (sekilogram) yang akan berada di pasaran pada 1 Mac.

Mohamad Yusrizal menambah, pihaknya juga melahirkan kebimbangan berhubung mekanisme digunakan untuk menetapkan gred bagi beras tempatan dan import yang bakal diselaraskan harga itu.

“Pertama sekali adalah beras tempatan dan juga beras import tidak sama. Beras import ini kalau kita ambil dari luar negara dengan harga yang rendah mungkin grednya lebih rendah daripada beras tempatan.

“Jadi sekiranya beras Malaysia Madani itu dia sudah tukar nama. Adakah kedua-dua beras ini dicampur ataupun beras ini diasingkan dan dijual tidak mengikut gred. Kita risau bahawa adalah kualiti beras yang akan pengguna dapat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI