fbpx

Dua sekawan terlibat kes pecah rumah dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan barang kemas yang dirampas selepas menahan dua suspek pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Dua sekawan yang terlibat dengan kegiatan pecah rumah dicekup ketika mereka sedang menaiki sebuah kereta di sekatan jalan raya (SJR) Cabang Empat Salam, Rantau Panjang dekat sini kelmarin.

Kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 33 dan 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam ketika menaiki sebuah kereta jenis Subaru.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan di dalam kereta itu menjumpai pelbagai jenis dadah disyaki pil ekstasi, sepucuk pistol angin dan kelopak.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam but kereta itu kemudiannya menemukan lapan buah telefon bimbit dan 18 unit barang kemas dan sebilah pedang.

“Kita turut menjumpai pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah.

“Hasil semakan mendapati, suspek yang berusia 39 tahun mempunyai 18 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. Rakannya pula mempunyai lima rekod lampau berkait kes dadah,” katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, salah seorang daripada suspek mengaku melakukan kegiatan pecah rumah.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati dua lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan mereka direman selama empat hari bermula semalam.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, Seksyen 6 Akta Bahan Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI