fbpx

4 lelaki didakwa bunuh rakan sekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT rakan sekerja yang didakwa atas tuduhan membunuh dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang rakan sekerja mereka, awal bulan ini.

Tertuduh, Poh Kien Huat, 28, Mohamad Ashiq Othman, 31, Wong Sew Hau, 48, dan Lim Wee Huang, 32, mengangguk faham ketika pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Melayu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Hah Chun Fai, 24.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah pejabat kelab malam di Jalan Dato Abdullah Tahir di sini, antara pukul 2.30 pagi hingga 11.15 pagi, 4 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara sehingga 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina, manakala semua tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 23 Mei depan.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Kien Huat dituduh dengan niat bersama Loh Kah Cyhe, 29, dan Lau Ngie Fong, 37, mengurung dengan salah mangsa yang sama.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Salini.

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa dilakukan di sebuah bilik premis hiburan di Jalan Sutera Tanjung 8/2, Taman Sutera Utama di sini antara pukul 2 hingga 2.20 pagi, 4 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan dibacakan 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala mereka diwakili peguam yang sama.

Kah Cyhe dan Ngie Fong masing-masing diberi ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin manakala Kien Huat tidak dibenar ikat jamin.

Mahkamah menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 4 Februari lalu, polis menerima maklumat pada pukul 4.54 petang, berhubung satu kes bunuh membabitkan seorang lelaki berusia 24 tahun di sebuah kelab malam dekat Jalan Dato Abdullah Tahir di sini.

Susulan laporan itu, seramai 15 lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan bagi membantu siasatan termasuk seorang yang sempat melarikan diri ke Bangkok, Thailand, namun berjaya ditahan sebaik tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), 5 Februari lalu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI