fbpx

Sanggup gadai nyawa naik bot untuk menyamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KLANG – Tiga penjenayah sanggup menaiki bot semata-mata mahu menyamun lelaki warga asing di sekitar Pulau Ketam di sini, Khamis lalu.

Kesemua lelaki tempatan berusia 29 hingga 33 tahun itu dipercayai turut menggunakan pisau dan melarikan barang berharga mangsa termasuk wang tunai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 24 tahun bersama dua rakannya sedang berjalan kaki di kawasan berkenaan, kira-kira pukul 2.30 petang.

Jelas beliau, mereka kemudian didatangi tiga suspek termasuk seorang daripadanya yang mengacu pisau dan menampar pipi mangsa.

“Suspek kemudian mengambil telefon bimbit, salinan pasport dan wang tunai milik pengadu serta rakannya.

“Tiga penjenayah itu seterusnya menaiki bot menuju ke Jeti Pelabuhan Klang,” katanya petang ini.

Menurut Kamalariffin, hasil maklumat membawa kepada penahanan semua suspek bersama semua barangan mangsa di jeti tersebut, kira-kira pukul 4 petang hari sama.

“Semakan mendapati tiga suspek memiliki 14 rekod jenayah lampau termasuk seorang yang dikehendaki berkaitan kes samun di Cheras.

“Mereka kemudian direman dan akan didakwa ke mahkamah dalam tempoh terdekat,” ujarnya.

Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan dengan senjata. -KOSMO!ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI