SEPERTI wanita lain, Nurul (bukan nama sebenar) gembira apabila dapat mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang dicintainya.
Menurutnya, dia dan suaminya mengenali antara satu sama lain ketika masing-masing sedang melanjutkan pengajian di sebuah universiti di utara Semenanjung.
“Saya mencintainya sepenuh hati dan setelah tamat pengajian kami mengambil keputusan untuk berkahwin.
“Malah, keluarga saya juga merestui perkahwinan kami,” kata Nurul kepada K2 kala mengimbas detik bahagianya.
Namun begitu, Nurul yang kini berusia pertengahan 30-an menjelaskan, perkahwinan yang mereka bina itu hanya bertahan selama empat tahun.
Nurul mengambil keputusan untuk berpisah kerana sudah tidak tahan dengan sikap suaminya yang tidak bertanggungjawab.
Apa yang boleh dikatakan, segala perbelanjaan dalam rumah tangga mereka ditanggung oleh Nurul.
“Sudah rezeki saya mendapat pekerjaan yang lebih baik daripada suami setelah kami berkahwin.
“Tidak dapat dinafikan, gaji yang saya terima lebih besar berbandingnya,” akui Nurul yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta terkemuka.
Sejak mengetahui gaji yang diterima Nurul lebih besar, suaminya itu mula melepaskan tanggungjawab.
Perbelanjaan bulanan seperti bayaran rumah, kereta, makan minum ditanggung oleh Nurul.
Sebelum ini mereka berdua berjanji untuk berkongsi untuk membayar segala perbelanjaan bulanan.
Namun janji hanya tinggal janji, suaminya itu langsung tidak menunaikan janji tersebut sedikit pun.
“Apabila saya meminta sedikit wang, dia memberitahu alasan dia tiada wang kerana gajinya kecil.
“Dia meminta saya untuk membayar segala perbelanjaan terlebih dahulu dan akan membayarnya kembali kepada saya nanti.
“Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, dia langsung tidak membayar kembali kepada saya dan pelbagai alasan diberikan apabila saya meminta sedikit wang miliknya,” ulas Nurul.
Tambahnya, segala kelengkapan anak tunggal mereka juga kesemuanya disediakan oleh Nurul sendiri.
Malah, boleh dihitung hanya beberapa kali suaminya membelikan kelengkapan anak mereka.
Hal tersebut membuatkan mereka sering bergaduh.
Nurul merasakan suaminya cuma menghabiskan wangnya untuk dirinya sendiri tanpa memikirkan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Jika diikutkan hati, dia ingin berpisah dengan suaminya itu tetapi disebabkan sayang dan memikirkan anak membuatkan Nurul terus bertahan.
Pun begitu, dia akhirnya mengambil keputusan nekad untuk berpisah dengan suaminya disebabkan oleh satu hal yang menjadi puncak pergaduhan.
Ia melibatkan keluarganya sendiri.
“Tanpa pengetahuan saya, suami saya telah meyakinkan ayah saya sendiri serta saudara-mara yang lain untuk meminjam duit bagi menjalankan satu perniagaan pelaburan yang akan diusahakan suami bersama rakan-rakannya.
“Dia memberi janji-janji manis kepada mereka bahawa perniagaan yang akan diusahakan itu akan memberikan keuntungan dan pulangan yang besar akan dikembalikan kepada mereka,” jelasnya.
Tambahnya, pada ketika itu, bapanya baru saja bersara dan mendapat sejumlah wang ganjaran menamatkan perkhidmatan.
Namun, semua itu hanya omongan kosong suaminya dan setelah beberapa bulan barulah Nurul dapat mengetahui hal tersebut apabila bapanya sendiri menceritakan perkara tersebut.
“Ini kerana ayah saya dan saudara- mara yang lain belum menerima keuntungan sepertimana yang dijanjikan oleh suami saya, mereka bertanya hal tersebut kepada saya dan itu yang membuatkan saya terkejut,” terangnya.
Nurul kemudian menanyakan hal tersebut kepada suaminya tetapi jawapan yang diterima amat mengecewakan dan suaminya menyatakan bahawa semua wang itu telah digunakannya untuk pelaburan.
“Suami saya menyatakan bahawa pelaburan itu mengalami kerugian dan dia tidak mempunyai wang untuk membayar kembali kepada ayah saya.
“Dia meminta maaf dan meminta saya menjelaskan hal tersebut kepada ayah saya dan sudara-mara lain,” katanya.
Perkara itu ternyata membuatkan Nurul hilang sabar dan akhirnya nekad memohon fasakh terhadap suaminya.
Mereka berdua kemudiannya sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.
“Kini saya telah berkahwin semula dan dikurniakan dengan suami yang lebih bertanggungjawab untuk menyara keluarga,” ujar Nurul.
















