fbpx

Nik Elin, anak menyibuk cabar enakmen undang-undang syariah – Hakim yang menentang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Elin (kanan) Tengku Yasmin Nastasha (kiri) ketika keluar dari Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini selepas keputusan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa. Foto oleh FAIZ ALIF/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli menjadi satu-satunya hakim yang menentang petisyen difailkan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman bagi mencabar 18 peruntukan yang dipertikai dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Mahkamah Persekutuan di sini.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Abdul Rahman berkata, Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Nastasha, 26, selaku pempetisyen, tidak mempunyai locus standi (tiada hak di sisi undang-undang) bagi mencabar enakmen terbabit.

Selain itu beliau berkata, mereka juga tidak menunjukkan faktor peruntukan jenayah syariah Kelantan telah melanggar hak perlembagaan.

“Bantahan mereka, semata-mata mengenai perundangan dan perlembagaan peruntukan negeri, soal perlembagaan itu hanya mengenai kewujudan peruntukan itu,” katanya.

Beliau berkata, pempetisyen juga telah gagal menyatakan alasan atau menunjukkan kesan mereka terjejas ekoran peruntukan tersebut.

Katanya, faktor kebimbangan sahaja tidak memadai untuk mengemukakan cabaran ini di mahkamah.

Sedangkan beliau berkata, Nik Elin Zurina dan anaknya, mesti menunjukkan hak asasi pempetisyen terjejas secara negatif oleh enakmen negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Abdul Rahman juga berkata adalah penting bagi badan kehakiman memastikan hanya pempetisyen yang mempunyai locus standi dibenarkan meneruskan cabaran mereka.

“Kita semua memiliki rasa takut dalam hidup, tetapi jika melibatkan cabaran kepada undang-undang negeri, ia perlu menyatakan asas pencabulan yang berlaku terhadap hak individu.

“Jika tidak, ia hanya akan menyebabkan pihak tertentu termasuk ‘kaki sibuk’ dengan menyalahgunakan proses undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8 -1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukan enakmen tersebut.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI