fbpx
AMELIA HENDERSON

Amelia Henderson tak campur aduk cinta, kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENYELAK rentak kerjaya figura bernama Amelia Henderson, setiap lapangan terutama lakonan dan pentas peragaan yang dijalani sejak kanak-kanak meletakkan selebriti berdarah kacukan itu berada dalam kelas tersendiri.

Tidak hanya bermodalkan kejelitaan, wanita berusia 28 tahun itu dikatakan antara bintang yang terus menyinar bersandarkan bakat, kredibiliti serta disiplin tinggi.

Pesona pemilik nama sebenar Amelia Thripura Henderson itu juga semakin kukuh sejak mengendalikan program podcast atau audio siar yang menyaksikan dirinya sebagai penerbit eksekutif merangkap pengendali wawancara.

Konten ditapis tetamu

Sejak bersiaran bermula Oktober 2022, platform tersebut meraih perhatian khalayak, malah kebijaksanaannya mengawal suasana selain santai mengupas isu, lebih-lebih lagi mengenai topik hangat dipuji ramai.

Begitupun, Amelia tetap memastikan setiap konten yang disajikan menerusi podcast Studio Sembang tidak menyentuh sensitiviti tetamu undangan selain melalui proses tapisan ketat.

Enggan memanipulasi jemputan yang juga rakan seperjuangan segelanggang dalam industri, katanya, setiap bahan sesi sembang  yang dirakam menjalani proses suntingan bersama pihak yang terlibat termasuk artis atau personaliti undangan.

“Apabila saya tanya pasal kehidupan, saya bukan mahu mencungkil perkara yang bernilai kontroversi sahaja kerana saya juga ada integriti, tetapi kita tidak boleh kawal jawapan mereka.

Anggun lakonan Amelia dalam drama lapan episod berjudul I.D sarat emosi dan mengandungi  plot twist yang cukup menarik.

“Biar apa pun huraian diberikan, bukan semua kita perlu kongsikan dalam podcast sebab kami akan hantar ‘final cut’ kepada tetamu agar mereka pula dapat memberikan maklum balas atau tapisan seterusnya.

“Saya enggan meletakkan tetamu saya dalam apa jua situasi kalau siarkan semua tanpa persetujuan disebabkan topik dibincangkan mengenai hal peribadi mereka,” jelas Amelia tenang.

Tak kejar sensasi

Lebih setahun bersiaran, Amelia menerima pelbagai respons, baik daripada penonton maya mahu pun selebriti, sekali gus menunjukkan Studio Sembang mempunyai pengikut tersendiri.

Ditanya mengenai pengendali platform audio siar lain yang sengaja memilih topik panas atau mengundang personaliti sensasi demi mengejar rating, dia hanya tersenyum.

Amelia yang juga ahli Mensa Antarabangsa iaitu individu mempunyai kecerdasan otak (IQ) tinggi bertegas, setiap ‘podcaster’ mempunyai pilihan sendiri dan terpulanglah kepada mereka untuk memilih topik atau isu untuk diperdebatkan.

KEDEKATAN dengan Aedy memberi bonus untuk pasangan sama naik sama padan itu saling berbincang dalam meningkatkan kerjaya masing-masing.

Sedar situasi, Amelia faham dia bukan individu yang sepatutnya mengulas kontroversi pihak lain tambahan pula platform kendaliannya juga pernah diperkatakan berikutan topik sensasi.

“Saya tak rasa saya orang sesuai untuk jawab siapa yang layak kendalikan podcast atau tidak. Apa yang saya buat adalah fokus terhadap podcast saya sendiri.

“Tetapi secara peribadi saya percaya sesiapa yang ada platform tersebut sedar, pengikut mereka mahu mereka bertanggungjawab dengan apa yang dimuat naik,” luahnya.

Beraksi dengan kekasih

Ditemui pada tayangan khas drama bersiri lapan episod berjudul I.D  siaran Astro Premiere bermula 23 Februari ini, Amelia turut teruja dapat membintangi sebuah naskhah berkisahkan jenayah ‘scammer’ tersebut.

Bintang filem Pulau itu sanggup mengenepikan undangan lain atas dasar mahu bekerja bawah arahan sutradara yang dihormati, Razaisyam Rashid.

“Sebenarnya saya teruja bawa watak Anggun yang sememangnya jauh berbeza dengan karakter sebenar saya. 

“Dia sarat warna dan emosi sehingga saya tercabar menggalas peranan ini.

“Saya juga puas berpeluang bekerja dengan seorang pengarah hebat dan berpadu tenaga dengan ramai pelakon yang bagus untuk naskhah unik sebegini.

“Penonton kena tengok cerita ini sampai ke episod akhir sebab Anggun sesungguhnya watak yang sukar dijangka dan sarat kejutan,” ulasnya yang turut gembira beraksi dengan si kekasih, Aedy Ashraff.

Dedah Amelia, ketika bekerja, hakikatnya mereka sangat profesional tanpa mencampuradukkan urusan tugasan dengan soal perasaan.

Masing-masing memahami sempadan, terutama ketika di tempat kerja, seterusnya mampu menunaikan amanah karakter sebaik mungkin.

AMELIA sedia menyahut cabaran untuk menggalas lebih banyak watak dan pada masa sama terus aktif mengendalikan podcastnya, Studio Sembang.

“Saya patut berterima kasih kepada Aedy kerana dia banyak membimbing dalam pelbagai segi, lebih-lebih lagi apabila kami dapat peluang bekerjasama seperti dalam I.D.

“Walaupun dia selalu beri pendapat sama ada dalam pemilihan naskhah atau watak, tidak bermakna saya kena ikut semua kerana pada akhirnya saya yang membuat pemilihan.

“Sejujurnya kami saling menyokong, tambahan pula situasi kami yang sama-sama terjun ke arena seni sejak kanak-kanak, itu yang membolehkan keserasian bercambah semula jadi,” lenturnya.

Kukuhkan kerjaya

Menyambung cerita tentang naskhah lakonan kekasihnya, Amelia teruja memandangkan masing-masing mendapat watak istimewa yang jauh berbeza daripada sikap sebenar mereka.

“Aedy bawa karakter anak orang kaya yang mementingkan diri dan kasar, manakala saya galas peranan wanita penurut serta lemah, hakikatnya kami sangat kontras dengan watak sebegitu.

“Sebab itu saya katakan karya ini unik dan bawa impak kepada portfolio lakonan. Begitu juga dengan komitmen semua pelakon, mereka hebat,” ujarnya yang turut menghormati cara Aedy bekerja.

Lebih selesa membiarkan soal cinta tidak dijadikan topik hangat, wanita kental itu menaruh harapan mahu terus mengukuhkan portfolio dalam arena penyiaran dan hiburan dengan memberikan tumpuan berganda terhadap kualiti karya lakonan dan konten program kendaliannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN