fbpx

16 peruntukan Enakmen Syariah Kelantan terbatal, tidak sah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Elin Zurina (kanan) selaku pempetisyen ketika hadir di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini. Foto oleh Faiz Alif Zubir/Kosmo!

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8 -1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukkan enakmen tersebut.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu.

Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada 17 Ogos 2023, mahkamah mendengar penghujahan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili kedua-dua pempetisyen dan Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif mewakili Kerajaan Negeri Kelantan manakala Yusfarizal Yussoff selaku peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Malik Imtiaz antara lain berhujah, Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang tersebut kerana 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Hujah beliau, 18 peruntukan tersebut tidak sah kerana peruntukan undang-undang jenayah yang dipertikaikan itu merupakan bidang kuasa Parlimen.

Sementara itu, Kamaruzaman berhujah, peruntukan yang dicabar itu merupakan kesalahan yang dilakukan terhadap perintah agama Islam yang termasuk di bawah Butiran 1, Senarai Negeri, bukan undang-undang jenayah yang tertakluk kepada Butiran 4(h), Senarai Persekutuan.

Beliau turut memohon mahkamah mengkaji semula penghakiman kes Iki Putra Mubarrak berhubung isu serupa kerana terdapat beberapa bahagian dalam penghakiman Iki Putra yang disifatkan tidak boleh dikekalkan.

Kamaruzaman memohon mahkamah meneliti penghakiman itu yang menyatakan enakmen kesalahan syariah yang termasuk dalam senarai Persekutuan, secara automatik adalah terbatal.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Pada 20 November 2023, panel sembilan hakim itu turut mendengar penghujahan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bahawa Badan Perundangan Negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa menggubal 18 peruntukan undang-undang itu.

Beliau yang mewakili Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) selaku peguam pemerhati berkata, tiada satu pun peruntukan undang-undang yang dicabar oleh Nik Elin Zurina dan anaknya, tertakluk di bawah 27 senarai undang-undang Persekutuan.

Hujahnya, kuasa Parlimen adalah menggubal undang-undang dalam senarai Persekutuan yang mengandungi 27 item, namun ia tidak boleh menggubal undang-undang di luar daripada 27 item yang disenaraikan.

Hujah beliau, Nik Elin dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha juga gagal membuktikan bahawa penggubalan 18 peruntukan itu tidak selari dengan undang-undang syariah dan kekeluargaan Islam yang mewajarkan ia dibatalkan oleh mahkamah.

Pemerhati-pemerhati lain terdiri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Badan Peguam Malaysia turut bertindak selaku pemerhati.

Mahkamah turut mendengar penghujahan pihak-pihak yang bertindak selaku sahabat mahkamah (Amicus Curiae) dalam petisyen tersebut iaitu Sisters In Islam Forum (SIS) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

SIS dan Badan Peguam menyokong petisyen Nik Elin manakala yang lain membantahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI