fbpx

11 pengawal keselamatan dicekup simpan ‘pump gun’ secara salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein (tiga kiri) menunjukkan senjata pump gun dan peluru yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Selangor. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

SHAH ALAM – Perbuatan 11 pengawal keselamatan menyimpan senjata api jenis ‘pump gun’ secara salah dipercayai sejak dua tahun lalu memakan diri apabila dicekup sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam, baru-baru ini.

Kesemua lelaki berusia 25 hingga 53 tahun itu ditahan menerusi 11 siri serbuan selama dua hari bermula Selasa lalu oleh Pasukan Penguatkuasaan Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Lesen Senjata Api) Bukit Aman dan Unit Penguatkuasaan Lesen Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Ada antara mereka dikatakan menyimpan senjata di bawah katil dan almari rumah, di dalam kereta selain membawa senjata tersebut serta peluru secara terbuka dengan hanya menunggang motosikal.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan itu dilakukan selepas semua pengawal keselamatan selesai bertugas di bank dalam dua daerah tersebut.

Beliau menegaskan, serbuan itu membawa kepada rampasan sebanyak 11 laras pump gun, 55 butir peluru dan sebuah kenderaan yang ditemukan dalam kediaman masing-masing.

“Siasatan awal mendapati semua suspek bekerja dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan di Kuala Lumpur dan diarah menyimpan senjata api di rumah.

“Selain itu, mereka membawa secara tidak selamat dengan hanya menggalasnya ketika menunggang motosikal,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Menurut Hussein, semakan pihaknya mendapati syarikat itu pernah dikesan melakukan kesalahan sejak 2015 namun lebih kepada kes terpencil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Senjata 1960 kerana melanggar syarat lesen yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000,” katanya yang memberitahu suspek akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI