fbpx

Konsert Siti Nurhaliza di Singapura ditambah sehari lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Konsert Fenomena Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore ditambah sehari lagi bagi memenuhi permintaan ramai yang terlepas tiket bagi persembahan mega pertama.

PETALING JAYA – Konsert Fenomena Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore ditambah satu malam lagi iaitu pada 28 Jun depan bagi memenuhi permintaan ramai yang terlepas tiket bagi persembahan mega pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif SAH Entertainment, Sufi Rashid berkata, penambahan hari konsert di The Star Theatre, Singapura itu diharap dapat dijadikan peluang untuk peminat tegar penghibur nombor satu Malaysia merebut peluang itu.

“Berita gembira, dengan besar hati kami bersetuju menambahkan hari pada 28 Jun 2024 untuk konsert Fenomena Datuk Sri Siti Nurhaliza Live In Singapore,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Pada masa sama, pihaknya menyatakan rasa bangga dapat merealisasikan konsert tersebut buat dua malam berturut-turut seperti diharapkan pengikut setia penyanyi terbabit.

“Sedalam-dalam terima kasih atas sokongan ikhlas anda semua.

“Daripada kami di SAH Entertainment, ini satu penghormatan dapat menganjurkan dua konsert bagi artis legenda buat julung kalinya,” ujarnya.

Penganjur juga memaklumkan pembeli yang sudah mendapatkan tiket konsert pada 29 Jun boleh menukar hari menonton kepada tarikh baharu andai berminat.

“Kepada yang menghantar mesej peribadi dan bertanyakan mengenai pertukaran hari konsert, kalian tak perlu bimbang.

“Insya-Allah kami akan membuat perancangan rapi dan pilihan terbaik untuk anda buat penukaran nanti.

“Maklumat lanjut akan dikongsikan tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, Siti sekali lagi mencatat sejarah apabila tiket konsert Fenomena Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore yang bakal diadakan pada 29 Jun depan habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

Sebelum itu, sistem jualan tiket dilapor sesak apabila lebih 4,000 pengguna menunggu atas talian sebelum jualan dibuka pada 24 Januari lalu.

Difahamkan hingga tiket habis disambar, kira-kira 8,000 pembeli masih menunggu giliran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI