fbpx
RANGKA manusia yang tidak tahu asal usulnya perlu diuruskan mengikut beberapa kaedah seperti disarankan oleh Islam. – Gambar hiasan

K2

Kaedah urus rangka tak diketahui asal usul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di sekolah kami terdapat rangka manusia yang digunakan untuk subjek Biologi dan rangka tersebut kini berusia sekitar 60 tahun.
Pihak sekolah bercadang untuk tidak menggunakan rangka ini lagi. Namun, terdapat sedikit kesukaran memandangkan rangka itu diimport dari luar negara dan tidak diketahui asal usul agamanya. Mohon pencerahan daripada asatizah berkenaan dengan hal ini.

Jawapan: Tatacara pengurusan rangka manusia yang tidak diketahui asal usul status agamanya adalah mengambil hukum pengurusan mayat yang dijumpai di negara atau tempatnya.

Berdasarkan hukum syarak, terdapat dua kaedah yang boleh digunakan.

Pertama, jika dikenal pasti bahawa rangka itu datang dari negara Islam, maka cara pengurusannya adalah mengikut cara pengurusan jenazah orang Islam.

Kedua, jika telah dikenal pasti rangka tersebut berasal dari negara bukan Islam, maka ia dihukumkan sebagai kafir dan cara pengurusannya adalah mengikut pengurusan mayat bukan Islam. Tubuh badan manusia merupakan jasad yang mulia di sisi Allah SWT sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Firman-Nya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’: 70)

Tafsiran ayat di atas menyatakan bahawa Allah SWT memuliakan anak Adam dan kemuliaan ini adalah melalui ciptaan menjadikan manusia dalam bentuk sebaik-baik kejadian.

Tambahan pula, kemuliaan ini dikuatkan lagi dengan hukum fiqh yang tidak menghukum najis ke atas jasad manusia yang mati baik jasad tersebut Islam mahupun kafir.

Oleh itu, setiap jasad atau juzuk anggota daripada manusia perlu ditanam kerana menghormati kemuliaan dan kedudukan manusia berbanding makhluk-makhluk lain.

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa kemuliaan manusia diiktiraf di dalam Islam, baik ketika hidup mahupun mati.

Bahkan, sekiranya menemui jasad atau sebahagiannya, maka dituntut supaya tanam jasad tersebut.

Dalam permasalahan pengurusan rangka manusia yang tidak diketahui asal usul dan status agamanya, perkara ini perlu diurus dengan cara pengurusan mayat yang ditemui terdampar pada sesuatu tempat.

Hal ini merujuk kepada pandangan yang dinukilkan oleh Sheikh ‘Ali al-Ansari dalam karangannya: “Sekiranya terjumpa mayat atau sebahagian jasadnya dan tidak diketahui sama ada dia itu orang Islam atau kafir, maka hukumnya seperti hukum bagi orang yang terdampar.

Jika dia dijumpai di negara Islam, dia diurus dengan pengurusan orang Islam. Sekiranya ditemui di negara kafir dan tiada orang Islam dalamnya, maka hukumnya adalah seperti hukum orang kafir.” (Rujuk Kifayat al-Nabih fi Syarh al-Tanbih: 5/118)

Berdasarkan kenyataan di atas, permasalahan ini boleh diurus dalam dua hukum atau mengikut keadaannya iaitu dengan mengenal pasti dari negara mana rangka tersebut didapati dan kaedahnya adalah:

Rangka manusia dari negara Islam: Rangka tersebut dihukum sebagai rangka dari jasad orang Islam dan pengurusannya hendaklah mengikut tatacara pengebumian orang Islam iaitu melibatkan mandi, kafan,solat dan dikebumi di tanah perkuburan Islam.

Rangka manusia dari negara bukan Islam: Rangka tersebut dihukum sebagai kafir kerana ia datang dari negara bukan Islam dan pengurusannya mengikut pengurusan jasad orang bukan Islam iaitu boleh dibalut dan ditanam terus tanpa perlu kapan dan solat.

Tatacara pengurusan rangka manusia yang tidak diketahui asal usul status agamanya adalah mengambil hukum menguruskan mayat dijumpai di sesuatu negara atau tempat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN